KAPIT: Projek pembangunan infrastruktur yang sedang rancak dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh akan diteruskan dalam usaha membangunkan kawasan tersebut.

Tegas calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) DUN Baleh, Koh Kumbong, usaha untuk menyekat dan memberhentikan projek pembangunan itu adalah satu tindakan tidak matang.

Malah ujarnya, PSB tidak akan sesekali mengikut jejak Pakatan Harapan (PH) yang memerintah di peringkat Persekutuan sebelum ini yang membatalkan peruntukan untuk beberapa projek yang telah dirancang di Sarawak.

“Bagi saya secara peribadi saya tidak akan menentang projek-projek infrastruktur yang telah dilaksanakan kerana semua projek itu adalah untuk manfaat rakyat.

“Kita (PSB) cuba mengatasi apakah masalah yang ada dan kita akan menambah baik jika menjadi kerajaan dan akan menambah rangkaian infrastruktur yang lebih banyak lagi untuk kegunaan rakyat di pedalaman Sarawak,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Isnin.

Ditanya mengenai potensinya untuk merampas kubu kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, beliau optimis akan menang dan PSB akan mampu membentuk kerajaan baharu di Sarawak.

“Saya optimis saya akan berjaya... menang dan saya juga yakin PSB juga akan menjadi sebuah parti (kerajaan).

“Kalau tidak sebagai tulang belakang parti memerintah di negeri Sarawak, sekurang-kurangnya parti PSB akan banyak juga menang. Harapan kita pastinya untuk bersama-sama di dalam kerajaan yang akan datang untuk membangunkan negeri kita dalam banyak perkara,” katanya yang merupakan langkah pertama Koh dalam arena politik.

Dalam saingan kali ini, dia akan dicabar oleh calon dari GPS, Nicholas Kudi Jantai, Kenneth Usang George (DAP) dan Irwan Iskandar Sukarno dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Kerusi DUN Baleh sebelum ini disandang oleh mendiang Tan Sri James Jemut Masing selama lapan penggal bermula pada 1983.

Pada PRN11 yang lalu, mendiang Masing berjaya memperkukuhkan kedudukannya apabila meraih majoriti mudah 4,843 ke atas calon DAP, Agop Linsong yang sekadar meraih 454 undi.