SONG: Populasi yang semakin meningkat dan hanya satu mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang beroperasi ketika ini pekan Song

Masalah ini juga menyebabkan penduduk di sana terpaksa beratur panjang semata-mata untuk mengeluarkan wang.

Menurut pengusaha restoran, Hasnaliza Bohari, pekan Song kini kerap menjadi persinggahan penduduk luar maka pertambahan perkhidmatan itu wajar dilakukan.

“Sekarang dah ada jalan dari Sibu terus ke Kapit dan ramai juga yang singgah ke pekan Song untuk urusan tertentu.

“Jadi penambahan ini perlu dibuat baik mesin ATM atau mesin deposit tunai (CDM), bukan apa, jika ada penambahan ini, ia akan membantu memudahkan urusan kami disini,” katanya.

Sementara itu Mardiah Tahir berkata keadaan menjadi lebih parah pada hujung bulan ketika orang ramai mahu mengeluarkan wang gaji.

“Kita bersyukur sudah ada satu bank dan mesin ATM disini, sangat memudahkan urusan kami.

“Tetapi lebih bagus sekiranya ditambah kerana keperluan itu ada, ramai orang terpaksa beratur panjang menunggu giliran.

“Jadi tambahlah satu lagi mesin atau buka cawangan bank baru disini, pasti lebih mudah penduduk di pekan Song ini untuk melakukan urusan perbankan,” ujarnya.

Manakala bagi Patricia Paschalis Goh, perkara ini wajar dipertimbang kerana adakalanya mereka terpaksa bergerak ke pekan-pekan berdekatan untuk tujuan itu.

“Bayangkan kalau mereka yang tidak punya kenderaan untuk bergerak, terpaksalah beratur panjang.

“Bagaimana pula sekiranya sudah beratur panjang, mesin pula kehabisan wang, jadi ini yang perlu difikirkan semula.

“Dengan adanya satu mesin ATM di sini memang membantu urusan kami lah, tapi kalau ada pasti ia akan melicinkan urusan penduduk kan,” katanya lagi.

Ketika ini, hanya Bank Simpanan Nasional yang beroperasi di pekan tersebut berbanding pekan Kapit yang memiliki sekurang-kurangnya lebih daripada tiga bank.