KUALA SELANGOR: Tan Sri Noh Omar menjangkakan strategi pertembungan satu lawan satu di Selangor mungkin memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengalahkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi UMNO Selangor iru berkata, kemenangan di kerusi terbabit bergantung kepada peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi, selain sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Jika keadaan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berpandangan, sekurang-kurangnya 33 daripada 56 kerusi di Selangor yang lebih 60 peratus pengundi Melayu, mampu dimenangi oleh PN.

"Sebab di seluruh Selangor ini kita ada 33 kerusi, yang pengundian Melayu lebih 60 peratus. 

"Ini adalah target (sasaran) kita. Sebab itu saya ambil contoh, macam dekat PDM (Pusat Daerah Mengundi), kalau PDM itu kalau ada pengundi bukan Melayu, dia 40 peratus, tentu kalah.

"Sebab pengundi Melayu 60 peratus, pecah tiga (saingan tiga penjuru). Sebab itu dia (saingan kerusi) tak boleh pecah tiga, tetapi kena pecah dua (baru) kita (PN) boleh menang," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Sungai Gulang-Gulang, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Noh berkata, walaupun telah dipecat daripada UMNO, teori saingan dua penjuru yang diperjuangkan beliau sejak menjadi Pengerusi UMNO Selangor diteruskan melalui platform PN dalam usaha mengalahkan PH.

Selain itu, beliau berkata, manifesto PN Selangor iaitu 'Selangor Baharu Kita Bangkit' disifatkan sebagai menyeluruh kerana merangkumi kebajikan penduduk di luar dan separa bandar, yang pernah diperjuangkannya sebelum ini.

"Di Selangor, mesti ada manifesto untuk bandar, separa dan luar bandar. Saya masyarakat luar bandar (Tanjong Karang), terima kasih (kerana tawar pemansuhan) parkir.

"Daripada dulu saya memang tak bersetuju (kena ada bayaran) parkir di kampung dan luar bandar di Tanjong Karang. Kenapa buat (bayaran) parkir, ini luar bandar," ujarnya lagi.

Pada PRN 12 Ogos ini, 26 kerusi menyaksikan persaingan satu lawan satu antara gabungan PH-BN dengan PN, 25 kerusi melibatkan tiga penjuru manakala lima kerusi berdepan saingan empat penjuru.

DUN Permatang menyaksikan saingan dua penjuru antara antara Nurul Syazwani yang juga anak Noh, menentang Ketua Cabang PKR Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri.