GEORGE TOWN: Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy menafikan bahawa beliau telah meletakkan semua jawatan dan keluar daripada parti itu selepas tidak berpuas hati apabila digugurkan dalam senarai calon untuk pilihan raya negeri (PRN) ini.

Kata Ramasamy, berita itu tidak benar dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau turut percaya bahawa pihak tersebut sengaja mereka cerita mengenai perkara itu selepas beliau membantah keputusan parti yang menggugurkannya daripada bertanding.

"Semua itu 'fake news', tak benar. Saya masih dalam Kerajaan Caretaker Pulau Pinang sebagai Timbalan Ketua Menteri II, masih Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan masih ahli DAP. Saya masih setia dengan DAP.

"Saya percaya, ada pihak yang ambil kesempatan dengan menyebarkan berita palsu ini selepas saya bantah dengan keputusan parti berhubung pemilihan calon untuk PRN.

"Saya langsung tiada niat nak keluar parti (DAP). Semua desas desus di media sosial itu tidak benar sama sekali," tegasnya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini, muncul desas desus mengatakan Ramasamy akan meninggalkan DAP yang disertainya sejak tahun 2005 kerana kecewa apabila tidak dipilih untuk menjadi calon dalam PRN yang akan diadakan pada Ogos nanti.

Khabar angin itu semakin bertiup kencang apabila beliau yang berusia 74 tahun itu mempersoalkan tindakan DAP menggugurkan beliau dan beberapa Exco Kerajaan Negeri lain daripada bertanding.

Ramasamy juga telah bersetuju dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees yang mendakwa wujud seorang 'maharaja' telah menggunakan kuasanya untuk membuat keputusan sendiri.

Dalam pada itu, Ramasamy turut menafikan telah bertemu dengan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di ibu negara untuk berbincang mengenai 'sesuatu perkara'.

"Saya tidak ke mana-mana, saya di Pulau Pinang. Masih bertugas dalam kerajaan caretaker malah saya masih ke pejabat pusat khidmat saya. Mana ada saya jumpa siapa-siapa, Muhyiddin ka Tun ka, tiada.

"Semua dakwaan itu tidak berasas, jika ada pun, mungkin jumpa secara tak sengaja, bukan perjumpaan yang dirancang. Jadi khabar angin mengenai saya buat perjumpaan dengan Tun atau Muhyiddin itu, tidak benar sama sekali," katanya.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Ramasamy berkata, setakat ini, beliau tidak mempunyai perancangan khusus dan hanya mahu menumpukan kepada penulisan buku memoirnya.

"Saya masih fikir tentang perancangan masa depan saya. Mungkin saya akan berperanan di peringkat nasional namun belum tentu lagi dalam bentuk apa. Masih dalam perancangan di peringkat awal.

"Mengenai PRN pula, saya tidak akan turun padang untuk membantu berkempen sebaliknya mahu fokus kepada penulisan buku dan beberapa perancangan saya yang lain. Yang pasti, saya akan terus berada dalam bidang politik," katanya.

Ditanya sama ada beliau kecewa dengan keputusan parti yang menggugurkan beberapa pemimpin veteran, bekas ADUN Perai itu berkata, beliau tidak kecewa sebaliknya cara keputusan yang dibuat itu tidak betul.

"Saya tidak kecewa tetapi cara yang mereka buat itu, tak kena. Saya terima hakikat (tidak dicalonkan), tetapi mereka beri hujah yang tidak ada kena mengena.

"Ini lebih kepada 'political purge'. Sebab itu saya tidak berpuas hati, bukannya kecewa tidak dicalonkan. Hujah parti mengatakan mahu memberi peluang kepada muka baru untuk berkhidmat kepada rakyat, mengapa gugurkan pemimpin muda yang bagus seperti Yeoh Soon Hin, Soon Lip Chee dan Satees?" katanya lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan lima Exco Kerajaan Pulau Pinang dari DAP digugurkan daripada senarai calon untuk bertanding dalam PRN ini.

Mereka adalah Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, Exco Pelancongan dan Industri Kreatif, Yeoh Soon Hin dan termasuk Ramasamy, yang juga Exco


https://www.sinarharian.com.my/article/270524/berita/politik/saya-masih-ahli-dap---ramasamy