SHAH ALAM: Parti Amanah Selangor mengesahkan akan mempertahankan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan depan dan dijangka menampilkan 50 peratus calon muka baharu.

Pengerusinya Izham Hashim berkata kerusi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu iaitu Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Kelang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer.

"Kita sudah dapat jumlah kerusi masing-masing, fasa ini kita terbuka untuk buat pertukaran (dengan parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional) tapi itu (proses) suka sama suka.

"Setakat ini ada dengar (berkaitan pertukaran) tapi belum lagi ada apa-apa (tindakan), kita masih ada masa...Kita bukan semata-mata mahu bertanding, tapi nak tengok juga...kebolehmenangan di tempat itu," katanya pada sidang media selepas mekawat ke lokasi projek pelebaran Persiaran Mohktar Dahari, Puncak Perdana di sini hari ini.

Menurut beliau pertukaran suka sama suka dijangka selesai pada pertengahan minggu depan.

Mengulas lanjut, Izham berkata parti itu dijangka menampilkan 50 peratus calon muka baharu selain mengekalkan kuota 30 peratus untuk calon wanita.

"Calon Amanah dijangka seimbang. Saya tak boleh nak umum siapa-siapa, tetapi saya bagi tahu kombinasi antara penyandang, muka baharu dan orang lama yang diberi nafas baharu," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi pelaksanaan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan berlangsung serentak pada 12 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.

-- BERNAMA