KUCHING: Tempoh enam bulan proklamasi darurat di Sarawak perlu dimanfaatkan kerajaan persekutuan bagi menyediakan satu prosedur baharu bagi sistem pilihan raya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berpendapat tempoh berkenaan tidak patut dibazirkan dan seharusnya digunakan sebaiknya untuk menyediakan prosedur reformasi pilihan raya yang selamat bagi mengekang penularan COVID-19.

“Gunakan masa ini sebaik mungkin untuk menyediakan satu prosedur reformasi pilihan raya yang membolehkan satu sistem pilihan raya yang selamat bagi rakyat Sarawak terutamanya pada tahun depan.

“Ini termasuk warga Sarawak yang tinggal di luar seperti di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau dimana sahaja untuk membolehkan mereka mengundi dimana mereka berada,” jelasnya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini.

Beliau yang juga penolong setiausaha DAP Sarawak berkata pihaknya menyokong sepenuhnya sebarang pindaan undang-undang berkaitan pilihan raya di parlimen demi kebaikan Sarawak dan rakyatnya.

“Bentangkanlah mana-mana pindaan undang-undang yang perlu di parlimen dan kami akan sokong asalkan ia baik untuk Sarawak, baik untuk rakyat Sarawak.

“Terutamanya untuk mempertahankan dan memperkasakan hak mengundi mereka, mana-mana di pilihan raya negeri dan juga pilihan raya persekutuan,” ujarnya.

BACA: COVID-19: Darurat di Sarawak hingga 2 Februari 2022

BACA: Proklamasi darurat di Sarawak diisytihar untuk elak penularan COVID-19 – PMO

BACA: Proklamasi Darurat di Sarawak wajar, ambil kira peningkatan kes COVID-19 - GPS