Protes dalaman secara senyap kini berlaku di Tanjung Malim lantaran penyandang bagi kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Ong Ka Chuan digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengarah PDM Kampung Balun, Shukor Ahmad berkata mereka kecewa dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti dengan menggantikan individu yang bukan dari kalangan pemimpin tempatan bertanding atas tiket BN.
Jelasnya, beliau ada menerima maklumbalas daripada 100 jentera PDM Kampung Balun yang bertindak untuk protes gerak kerja pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

BACA.FAHAM.UNDI: LIPUTAN KOMPREHENSIF PRU14 DI SINI

“Memang kita akan protes secara senyap. Mungkin mereka pangkah parti lain atau tidak mengundi langsung.
“Ahli-ahli UMNO termasuk para pengundi di dua cawangan iaitu PDM Kampung Balun dan Kampung Balun Baru amat terkejut kerana Ka Chuan ditukar tanpa pengetahuan jentera lebih awal,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Malah, beliau akui kira-kira 640 ahli BN termasuk jentera parti itu di Parlimen Tanjung Malim akan ke Putrajaya esok dengan menaiki 16 buah bas untuk berjumpa dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara tersebut.
Sementara itu, salah seorang veteran UMNO Tanjung Malim, Ahmad Abdul Karim hairan mengapa Setiausaha Agung MCA itu digugurkan sedangkan perkhidmatan Ka Chuan kepada rakyat amat baik.
Malah, beliau tidak tahu siapakah lagi yang akan menggerakkan jentera parti setelah beberapa PDM turut mengambil langkah memprotes.
“Kebaikan Ka Chuan ini dia telah berjaya memikat hati penduduk dengan adanya pelbagai kemudahan seperti mewujudkan dewan orang ramai, hadir hari sukan sekolah.
“Malah, ‘orang dia’ (pegawai Ka Chuan) akan turun bersama-sama kami dan menyampaikan sumbangan jika ada sebarang kecemasan serta keraian.
“Jadi bila ditukar, mungkin apa yang jadi pada 2008 akan berulang. Siapa yang nak sambung buat kerja pasang bendera dan macam-macam lagi ni?” soalnya.
Pada majlis pengumuman Calon BN Perak semalam, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mah Hang Soon diumumkan sebagai calon Parlimen Tanjung Malim.
Pada PRU13, Ka Chuan menerima 28,225 undi sekaligus menewaskan Tan Yee Kew (PKR) dengan majoriti 4,328 undi.