Perang persepsi yang berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 perlu ditangani secara rasional dan bukan emosional, ujar penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Azizuddin Sani.

Jelasnya, rakyat perlu bijak menilai apa jua isu yang dibangkitkan, terutamanya di media sosial.

"Bagi rakyat, kita perlu jangan emosional tetapi jadi rasional untuk menilai isu-isu tersebut sama ada isu-isu berkenaan adalah benar atau tidak benar.

"Ini kerana hasil kajian saya mendapati banyak isu yang dibangkitkan yang kadang-kala kurang tepat. Dalam pilihan raya ini terlalu banyak isu di media sosial, maka rakyat perlu bijak menilai dan memikirkan serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda dibawa oleh pihak tertentu."

Azizuddin berkata demikian ketika menjadi tetamu program Malaysia Memilih 2018 bertajuk "Urus Tadbir dan PBT" di Astro AWANI di sini hari ini.

Beliau berkata penilaian yang baik dapat menghalang pihak-pihak tidak bertanggungjawab daripada terus menggugat ketenteraman awam.

"Kadang-kadang (isu itu) bukan pihak politik yang bawa, tetapi ada pihak tertentu yang tidak berkepentingan," tambahnya lagi.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu urus tadbir dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), beliau menyokong usaha memperluaskan lebih banyak sistem pengurusan pengagihan tender projek yang lebih telus dan moden bagi mengelak ketirisan serta ketidakadilan.

"Ramai yang menuduh PBT ini tidak telus dalam pengagihan projek, ada kepentingan, berat sebelah dan sebagainya.

"Jadi kalau ada sistem yang moden dan baharu serta pengagihan secara adil, jadi semua orang akan gembira," kata beliau.

Tambahnya, PBT juga memerlukan bantuan kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan sistem berkenaan berkesan serta diterima rakyat.

Beliau berkata pengurusan PBT yang baik dan ditambah dengan wakil rakyat yang berintegriti mampu menentukan tahap sokongan dan pola pengundian pada PRU ke-14.

"PBT kebanyakannya melihat bahawa mereka nak wakil rakyat yang berintegriti. Secara umumnya, kalau PBT tidak melakukan tadbir urus yang baik dan menjejaskan kehidupan setempat dan wakil calon juga tidak ada inisiatif untuk menyelesaikan isu ini, maka ia akan memberi kesan kepada pola pengundian," ujarnya.