BAGAN DATUK: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri sekiranya parti pimpinannya itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Presiden UMNO itu, beliau yakin dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dalam membuat keputusan sedemikian.

“Kita yakin bahawa kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, terdapat di dalam perlbagai iaitu Perkara 43 (1) (B).

BACA: PRU15: Zahid jadi PM hanya mainan parti lawan - Ismail Sabri

“Saya yakin Tuanku akan menggunakan kebijaksanaannya untuk menentukan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri apabila BN memperolehi undi mencukupi untuk kita membentuk kerajaan,” katanya kepada media di Hutan Melintang, di sini, pada Isnin malam.

Sebelum ini, BN dan UMNO serta Ahmad Zahid berulang kali menegaskan, Datuk Seri Ismail Sabri akan terus menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang dalam PRU15.

PRU15 | Jangan cucuk-mencucuk, Ismail Sabri kekal calon PM - Zahid

Bahkan, Ismail Sabri sendiri pernah menyatakan keputusan memilih beliau sebagai Perdana Menteri diputuskan Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) dan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada April lepas.

Bagaimanapun, khabar angin bertiup mendakwa Ahmad Zahid yang juga calon BN di kerusi Parlimen Bagan Datuk itu akan memegang jawatan tersebut terus dimainkan dan meskipun berkali-kali dinafikan, isu tersebut masih dibincangkan sehingga kini.

Sementara itu, ketika ditanya ura-ura kerjasama BN dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan Pusat pula, Ahmad Zahid menegaskan dakwaan itu sebetulnya dimulakan oleh Perikatan Nasional (PN).

“Dakwaan itu datang daripada PN, sebab mereka berhajat untuk membuat khemah besar tapi akhirnya khemah besar itu tidak menjadi realiti.

PRU15 | Tidak bersengketa dengan Zahid

“Sebab itu mereka menembak secara tidak bersasar, tembak secara rambang,” kata Ahmad Zahid membidas pihak yang memulakan penyebaran dakwaan tidak berasas itu.

Kerusi Parlimen Bagan Datuk kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Selain Ahmad Zahid, calon-calon lain adalah Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dari Pakatan Harapan (PH) Dr Nik Muhammad Faiz Na'aman dari Perikatan Nasional (PN) dan Mohamad Tawfik Ismail (Bebas).

Ahmad Zahid menang dengan majoriti 5,073 undi pada PRU14.