KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Ahli-ahli Parlimen BN telah menandatangani aku janji yang memberi mandat kepada beliau untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

“Kesemua Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah menandatangani aku janji dan memberikan mandat kepada saya selaku Presiden (UMNO) untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.

"Sehubungan ini, mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Muhyiddin yakin jadi PM, miliki sokongan yang mencukupi

BACA: GPS sokong gabungan PN, BN, GRS - Abang Jo

IKUTI PAUTAN INI: KEPUTUSAN PENUH PRU15


Terdahulu beliau menafikan BN pernah berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Beliau menegaskan, tiada sebarang rundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud adanya persefahaman penubuhan kerajaan bersama gabungan tersebut.

Terdahulu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata mereka bersetuju membentuk Kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama dengan tiga lagi gabungan iaitu PN, BN, dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

PN yang memiliki 73 kerusi kini sedang berusaha mendapat sokongan dari parti-parti lain untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Selain PN, Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai 82 kerusi juga sedang mengintai peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain bagi menubuhkan kerajaan baharu.