KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), diminta untuk menandatangani surat menyokong beliau dengan memberinya mandat untuk membentuk Kabinet, sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya.

"Itu tipu," katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut yang dilaporkan oleh sebuah portal berita semalam.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN enggan mengulas mengenai spekulasi mengenai penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang akan digugurkan sebagai calon BN bagi parlimen itu.

"Tunggulah pengumuman malam ini kalau nak penjelasan mengenai spekulasi itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan kes bela dirinya di Mahkamah Tinggi hari ini.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN

Shahidan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa, Bilik Gerakan BN Arau ditutup malam tadi sebelum PRU15.

"Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN Parlimen Arau ditutup dan bendera diturunkan. Kali pertama dalam sejarah," katanya dalam hantaran itu.



Media sebelum ini melaporkan desas desus bahawa nama Shahidan dan penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, tidak tersenarai sebagai calon pada PRU15. - BERNAMA