BATU KAWAN: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyanggah  kenyataan Exco Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mendakwa beliau akan bertanding di Parlimen Ampang dan melepaskan kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) akan datang.

Anwar berkata, beliau tidak pernah membuat sebarang pengumuman untuk bertanding di Ampang dan menganggap  kenyataan itu sengaja dibuat untuk mempertahankan penyandang kerusi tersebut, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, tidak timbul sebarang isu sekiranya beliau bertanding di kawasan bukan majoriti Melayu atau sebaliknya kerana parti itu terdiri daripada berbilang kaum.

Anwar dalam pada itu menempelak Mohd Rashid yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang dipindahkan untuk bertanding di Parlimen Batu Pahat pada PRU14 yang lalu kerana prestasinya yang tidak memuaskan.

"Jadi saya nak bertanding kerusi (majoriti kaum) Cina? Rashid Hasnon ini siapa? Bekas PKR? Sebab apa kita hantar dia ke Batu Pahat? Sebab prestasi dia di Pulau Pinang dulu kurang memuaskan.

“Jadi saya tak umum pun (bertanding di Ampang), dia kata saya hendak bertanding di Ampang. Siapa beritahu? Dia ( Rashid) kalau hendak pertahankan Zuraida, ini bukan caranya, Zuraida Melayu kan, dia bertanding di mana? Ampang kan.

"Jadi ini bukan isu, saya memimpin parti majoriti Melayu tetapi pelbagai kaum. Saya tidak pernah uar-uarkan seperti mana Bersatu ataupun UMNO yang merupakan parti Melayu dan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyampaikan amanat pada Himpunan Wanita Keadilan di Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang pada Ahad.

Media semalam melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa akan bertanding di kerusi Parlimen Ampang kerana takut menghadapi pengundi Melayu di Port Dickson pada PRU15 nanti.

Mohd Rashid  yang juga Exco PN Johor berkata, pengundi Melayu sudah dapat menilai kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memimpin negara selama 22 bulan sebelum ini.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu dilaporkan berkata, PH juga menyedari hanya pengundi Cina yang akan mengundi gabungan itu pada PRU nanti.

Mohd Rashid turut mempersoalkan Ketua Pembangkang itu yang dikatakan memilih bertanding di Parlimen Ampang iaitu di kawasan campuran yang hanya mempunyai 51 peratus pengundi Melayu dan 32 peratus pengundi Cina.