KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak menafikan terdapat pelawaan kerjasama daripada pakatan politik di Semenanjung bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun Premier Sarawak itu berkata, ia perkara biasa apabila GPS mempunyai rekod cemerlang serta berupaya menjadi penentu pembentukan kerajaan.

Malah beliau turut menggunakan analogi seorang wanita cantik yang sering mendapat perhatian ramai pihak.

“Apabila anda (GPS) cantik (kuat) maka ramailah pihak akan mendekati anda.

“Ia seperti bercinta, tetapi kita tengok juga kalau bercinta pun belum tentu bertunang, kerana bertunang pun boleh putus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini pada Selasa.

Walaupun menerima pelawaan untuk bekerjasama, kata Abang Johari pihaknya tidak akan tergesa-gesa dalam perkara itu.

Sebaliknya, kata beliau GPS mahu menumpukan kepada persiapan gabungan itu yang lebih berfokus kepada memperjuangkan kepentingan Sarawak yang berpegang kepada prinsip ‘Sarawak First’.

GPS katanya akan bertanding sendiri buat pertama kali dalam pilihan raya umum di peringkat nasional.

“Kita akan mengumumkan manisfesto sendiri buat pertama kali, dan ini merupakan kali pertama kita bertanding bersendirian di peringkat nasional.

“GPS akan menjalankan amanah yang telah diberi kepada GPS melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan apa kita perlu ialah kita mempunyai suara yang kuat juga di peringkat Parlimen,” tegasnya.