TASEK GELUGOR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tasek Gelugor menyokong penuh cadangan menamakan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai calon untuk kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam satu kenyataan hari ini, Bersatu bahagian Tasek Gelugor memaklumkan, sokongan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan empat mata bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Oktober lalu.

“Bersatu Tasek Gelugor mengambil maklum laporan berita mengenai calon untuk Parlimen Tasek Gelugor. Ketua Bahagian Tasek Gelugor, Azmi Alang, telah mengadakan perbincangan empat mata  dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Oktober lalu di kediaman Muhyiddin.

“Dalam perbincangan tersebut, kami menyatakan Bersatu Tasek Gelugor menyokong penuh cadangan untuk menamakan Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan, selaku calon Parlimen kami,” kata Bersatu Bahagian Tasek Gelugor dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Jelas kenyataan itu lagi, pada awalnya, Bersatu Tasek Gelugor ingin menamakan Azmi sebagai calon.

“Namun, kami bersedia memberi laluan dan menyokong Wan Saiful untuk membuka ruang bagi tokoh muda peringkat nasional yang berpotensi menjadi Menteri Kabinet untuk membawa kemakmuran kepada semua rakyat Tasek Gelugor,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Azmi berjiwa besar kerana bukan sahaja menyokong sepenuhnya pencalonan Wan Saiful, tetapi juga berikrar akan turut bekerja bagi memastikan kemenangan calon mereka itu.

“Justeru, kami berharap pihak PN Pusat akan memberi perhatian kepada pandangan kami di peringkat Bahagian,” kata kenyataan itu.