PETALING JAYA: Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sedang berhadapan dengan kes mahkamah akan mengumumkan keputusannya sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau sebaliknya, pada hari Rabu ini (2 November).

Menurut penyandang kerusi Parlimen Muar, Johor itu, beliau mengambil maklum pandangan beberapa pihak bahawa kes mahkamahnya dilihat sebagai satu liabiliti.

Namun, dalam masa sama, Syed Saddiq menegaskan, beliau akan terus menghormati institusi kehakiman.

Kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi, keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pasukan pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap kesnya dilihat sebagai satu peluang untuk beliau membela diri berlandaskan fakta.

“Nantikan pengumuman pada Rabu ini. Sebagai salah seorang yang percaya pada rule of law, penting kita mengiktu ikut due process yang ada.

“Seperti saya sebut, saya hormati institusi kehakiman dan sarankan kepada penyokong MUDA, beri penghormatan tertinggi kepada institusi kehakiman… berani kerana benar, I will fight for the truth, institusi kehakiman telah memberikan peluang kepada saya untuk bela diri, jadi saya tak akan bazirkan peluang itu,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pengumuman Calon MUDA, di sini, malam ini.

Pada 28 Oktober, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid memerintahkan Syed Saddiq untuk membela diri berhubung empat pertuduhan empat pertuduhan subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Mengikut kertas pertuduhan, Syed Saddiq sewaktu menjadi Ketua Armada Bersatu, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim berhubung dana RM1 juta milik sayap parti itu.

Beliau didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri, dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Selain itu beliau juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.