TANJUNG KARANG: Barisan Nasional (BN) mengamalkan konsep solidariti bersama parti-parti komponan dalam mengumumkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pendekatan itu jauh berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang membuat pengumuman calon secara berasingan antara parti dalam gabungan itu, sekali gus dilihat seperti tiada persefahaman.

"Jadi, ini menunjukkan kita (BN) ada solidariti. Kita umum calon bersama-sama (parti komponen BN). Namun, PH kita lihat, PKR dengan caranya, DAP dengan calonnya, Amanah dengan calon Amanahnya. Jadi dari segi pengumuman calon itu mereka tidak bersama.

"Parti macam ini kalau mereka menang dan memerintah, akhirnya mereka berbalah dan yang menjadi mangsa adalah rakyat," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutup Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor, di sini, pada Sabtu.

Menurut beliau, pengumuman calon oleh BN lebih lambat berbanding PH berikutan perbincangan antara parti di peringkat agihan kerusi di seluruh negara.

"Itulah beza BN dengan PH. Kita lambat sebab kita lihat dari agihan kerusi seluruh negara dan calon . Kita bukan umum untuk UMNO sahaja, kita umum mana-mana calon yang bertanding bawah BN," tambah beliau.

Dalam masa sama, Noh menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan bila tarikh sesuai untuk mengumumkan calon PRU15 bagi BN.

Ditanya sama ada beliau akan dipilih sebagai calon Parlimen Tanjung Karang atau tidak, Noh mahu semua pihak menunggu pengumuman yang akan dibuat kelak.