BERA: Barisan Nasional (BN) perlu menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya menjadi dominan di Putrajaya, sekali gus membolehkan keputusan penting dapat dilaksanakan dengan mudah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kemenangan BN ditambah dengan kerjasama rakan-rakan parti dari Sabah dan Sarawak juga, dapat menghilangkan 'rasa tidak stabil' selain tidak lagi perlu mengharap ihsan pihak lain.

"Ketika ini walaupun saya Perdana Menteri, namun BN dalam kerajaan hanya menyumbang 42 kerusi, tak banyak... betul mereka (pembangkang) setuju dengan saya sebagai Perdana Menteri, namun kita rasa tak kuat. Tumbang atau tidak kerajaan, kalau ada lima yang tarik (sokongan) boleh tumbang. Sentiasa rasa tak stabil.

"Pembangkang sudah tandatangan perjanjian memorandum persefahaman, tetapi jika mereka tidak sokong dalam Parlimen semasa mengundi juga, kita tak boleh menang. Kita ini mengharapkan undi dia. Jadi yang terbaik ialah jangan mengharap orang tetapi kita sendiri yang menentukan hala tuju negara," katanya.

Naib Presiden UMNO itu berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.