BERA: Barisan Nasional (BN) yakin mampu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah memenangi 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BN juga berkeyakinan tidak perlu membentuk kerajaan campuran dengan parti lain, sebaliknya hanya bersama rakan di Sabah dan Sarawak bagi memperkukuhkan kerajaan.

"Setakat yang ditaklimatkan tadi kita boleh melepasi 112 kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri walau bagaimanapun saya percaya kita juga tidak akan bersendirian dalam membentuk kerajaan kita perlukan kerajaan yang lebih kuat. Rakan-rakan kita di Sabah, di Sarawak pasti akan bersama kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program ramah mesra dengan penduduk Kampung Batu Bor, di sini, hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Jika ramai keluar mengundi, UMNO akan 'hanyut di Sungai Muar' 


Ismail Sabri juga yakin BN mampu membentuk kerajaan kukuh dan menjamin kestabilan negara memandangkan Akta Anti Lompat Parti telah dikuatkuasakan.

Selain itu katanya, hasil laporan daripada mesyuarat lima pemimpin utama mendapati rakyat kembali yakin kepada BN dan parti itu sedang mendahului berbanding parti lain.

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!

Tambah Ismail Sabri, 'mood' dalam kalangan pengundi berbangsa Cina dan India juga dilihat mulai kembali kepada BN.

Katanya pengundi kini bijak membuat perbandingan keupayaan kerajaan membangunkan negara ketika berada di bawah tampuk Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14 dan BN sebelum itu.

Sementara bagi pengundi muda, BN sedang berhubungan dengan golongan itu dan memaklumkan kepada mereka tentang pentingnya keluar mengundi pada 19 November nanti..