BELURAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu tindakan diambil ke atas pemimpin sama ada daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahupun BN yang membantu kempen calon lawan atau tidak dipersetujui gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, pemimpin terbabit termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri dan yang berjawatan dalam kerajaan negeri.

"Saya meminta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor selaku pengerusi GRS untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang mensabotaj kemenangan calon yang GRS-BN telah persetujui bersama.

"Kalau tidak ambil tindakan, sudah tentu hubungan antara BN dan GRS mungkin tidak semurni sudah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama rakyat di sini semalam.

Bung Moktar berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya kerana persefahaman antara dua gabungan itu akan terus dicemari dan mengundang sikap tidak hormat kepada kepimpinan gabungan berkenaan dalam kalangan pengikut pemimpin terbabit yang membantu calon lain.

Mengenai penyandang kerusi Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang bertindak bertanding menentang calon BN atas tiket Perikatan Nasional (PN), Bung Moktar berpendapat tindakan Ronald itu tidak melanggar perjanjian antara GRS dan BN.

Bagaimanapun, beliau yakin penyandang kerusi Parlimen selama lima penggal itu akan memberi saingan kepada calon BN Benedict Asmat di Beluran.

BACA: PRU15: Langgar syarat, GRS perlu ambil tindakan disiplin ke atas Rubin Balang - Bung Moktar 

Di LIBARAN, Bung Moktar mahu agar jentera BN memastikan calon BN Datuk Suhaimi Nasir bagi kerusi itu menang bergaya pada 19 Nov nanti.

Katanya, sejak kerusi Parlimen Libaran diperkenalkan pada 1995, BN tidak pernah kalah di kawasan itu, walaupun salah seorang bekas Ahli Parlimen kerusi itu menang atas tiket BN, tetapi kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar daripada BN.

Meskipun yakin kerusi Libaran akan kembali kepada BN dengan calon yang telah lama rajin turun padang dan dengan kerjasama utuh rakan daripada GRS, beliau mahu jentera terus melipatgandakan usaha mendekati pengundi untuk pastikan kemenangan besar BN di kerusi itu.

"Dan apabila calon kita (Suhaimi) menang bergaya, jangan cacat celakan usaha kita mencapai kemenangan. Teruslah mulai bekerja untuk rakyat yang telah memberi mandat," katanya.

-- BERNAMA