HULU SELANGOR: Calon Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor, Datuk T. Mohan menawarkan 11 aspirasi untuk penduduk di parlimen itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia termasuk usaha menambah baik jalan raya Sungai Choh ke Ulu Bernam, dan menaik taraf masjid dan rumah ibadat lain.

"Jalan raya Sungai Choh ke Ulu Bernam memang teruk. Kalau naik kereta rasa macam naik bot, begitulah keadaan jalannya," katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, beliau juga berhasrat untuk mewujudkan sebuah lagi klinik kesihatan di Hulu Selangor memandangkan kemudahan sedia ada tidak mencukupi untuk penduduk di kawasan itu.

"Ketika ini hanya ada dua sahaja, iaitu Hospital di Kuala Kubu Bharu, dan Klinik Kesihatan di Serendah.

"Kita memerlukan lebih banyak klinik kesihatan di Hulu Selangor," ujarnya.

Dalam masa yang sama, untuk golongan belia, T. Mohan berharap akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Hulu Selangor.

Melalui aspirasi berkenaan, beliau melihat negara memerlukan kerajaan yang stabil agar Malaysia kembali makmur.

Justeru, beliau yakin hanya BN mampu merealisasikan perkara berkenaan.

Berikut tawaran 11 aspirasi Hulu Selangor:

1. Usaha menambah baik jalan raya Sungai Choh ke Ulu Bernam.

2. Usaha menaik taraf masjid dan rumah ibadat lain.

3. Usaha menaik taraf dan menambah baik fasiliti kesihatan termasuk menambah bilangan Klinik Kesihatan di Hulu Selangor.

4. Usaha mewujudkan liputan internet berkelajuan tinggi.

5. Usaha menyediakan kemudahan sukan khususnya bola sepak, motorsport dan e-sukan.

6. Usaha mewujudkan perkhidmatan tuisyen atas talian untuk golongan B40.

7. Usaha mewujudkan hab automotif dan TVET.

8. Usaha mewujudkan program untuk peniaga kecil.

9. Usaha mewujudkan program untuk dan wanita.

10. Usaha menyediakan pusat khidmat rakyat bergerak.

11. Usaha mewujudkan peluang pekerjaan di pelbagai sektor.