KUALA LUMPUR: Proses tapisan calon Perikatan Nasional (PN) akan dibuat secara menyeluruh bagi memastikan hanya mereka yang tidak boleh dipertikaikan integritinya akan diletakkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mereka yang menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah juga tidak akan dipertimbangkan sebagai calon PN.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara berkenaan adalah pendirian PN dan beliau tidak pasti sama ada parti-parti lain akan melakukan perkara yang sama iaitu tidak memilih calon yang mempunyai kes mahkamah.

“Kita bukan sahaja akan menyemak sama ada calon terlibat dalam kes mahkamah atau aktiviti jenayah, tetapi kita juga akan menyemak latar belakang mereka dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan agensi lain bagi memastikan calon kita benar-benar ‘bersih’.

"Ini kerana bagi kita menentukan negara ini menjadi negara yang dihormati, biarlah pemimpin-pemimpin termasuk yang akan menjadi Ahli Parlimen ini biarlah mereka yang bersih, barulah negara kita ini menjadi sebuah negara yang stabil,” katanya.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium Sains Forensik Kebangsaan bagi Penguatkuasaan Undang-undang di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras.