KUANTAN: Budaya berdebat tidak memberikan hasil, sebaliknya kerajaan lebih menumpukan tugas menjaga kepentingan rakyat.

Itu tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

"Saya dah kata dari segi debat tidak membawa hasil pun, debat waktu zaman Barisan Nasional (BN) dulu waktu Datuk Seri Shabery Chik jadi Menteri Penerangan berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan selepas habis ... habislah.

"Kedua, Datuk Seri Najib pun berdebat dengan Datuk Seri Anwar satu ketika dulu, setakat habis debat orang ini bawa penyokong, orang ini bawa penyokong bersorak dalam dewan dan selepas itu habis," katanya.

Sebaliknya, tegas Ismail Sabri, kerajaan lebih mementingkan tugasan kepada rakyat berbanding berdebat.

"Kita kerajaan bekerja, lebih daripada debat, kita pastikan apa dirancang dan dilaksanakan, kalau timbul kos sara hidup meningkat bagaimana kerajaan kena tengok untuk mengurangkan beban kepada rakyat.

"Jadi tugas kerajaan itu banyak, tugas kita bukan setakat bercakap tapi melaksanakan. Parti pembangkang ini mereka boleh cakap apa sahaja, pasal mereka tak perlu melaksanakan kerana tidak dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan mereka bukan kerajaan," ujarnya.

Terdahulu, Anwar membidas Ismail Sabri yang menolak cadangan mengadakan debat antara tiga calon Perdana Menteri.

Jelasnya, Dewan Rakyat juga merupakan tempat berbahas, begitu juga sekolah mahu pun universiti bagi mewujudkan pemikiran kritis dan kreatif.