GOMBAK: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini berikrar akan menyumbang seratus peratus gaji sebagai Ahli Parlimen, ke Dana Komuniti Gombak, iaitu salah satu daripada manifesto beliau.

Menteri Besar Selangor itu berkata, dana itu yang merupakan inisiatif untuk meningkatkan infrastruktur di kawasan tersebut, akan ditubuhkan sekiranya beliau berjaya memenangi kawasan Parlimen itu.

Amirudin berkata, perkara itu boleh dilakukan memandangkan beliau masih mempunyai pendapatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, dan memegang jawatan dalam Kerajaan Negeri.

“Kepada Dana Komuniti Gombak ini saya akan sumbangkan gaji Ahli Parlimen, keseluruhan gaji akan saya letakkan di sini, di samping memujuk pihak swasta untuk sama-sama masukkan dana ke dalam tabung ini,” katanya lagi.

Dana Komuniti Gombak itu, jelas Amirudin lagi, akan dilaksanakan melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta, khusus bagi usaha pemantapan infrastruktur tempatan bagi manfaat penduduk di kawasan itu.

Dalam sidang media hari ini, Amirudin mengumumkan Deklarasi Gombak Bermaruah – Lima Tekad untuk Lima Tahun, sebagai manifesto beliau untuk memenangi Parlimen itu.

Terdapat lima fokus utama iaitu – Ekonomi Tempatan Nadi Gombak; Rumah Mampu Milik Gombak; Infrastruktur Mampan, Selesa, dan Berdaya Tahan; Pendidikan dan Pekerjaan Bermaruah; dan Peranan Saksama Negeri.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Mujahid isytihar harta RM2.54 juta, miliki dua kondo

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!




Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau melihat terdapat cubaan pihak-pihak tertentu untuk mempersoalkan statusnya sebagai Menteri Besar Selangor dalam tempoh berkempen.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, status beliau adalah sebagai anggota pertadbiran, bukannya sebagai penjawat awam yang perlu meletakkan jawatan untuk menjadi calon dalam pilihan raya.

“Ada sebaran jahat yang telah dikeluarkan beberapa pihak, mempertikaikan keabsahan saya sebagai calon sama ada kedudukan Menteri Besar dianggap sebagai penjawat awam. Saya sebenarnya sudah menerima penjelasan daripada bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof  bahawa jawatan Menteri Besar adalah anggota pentadbiran, bukan penjawat awam.

“Malah saya juga merujuk hal ini kepada penasihat undang-undang Selangor, William Yeong, selaku peguam yang memahami selok belok undang-undang telah menggariskan perkara sama berdasarkan rujukan kes sebelum ini,” jelasnya lagi.