KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertemu hari ini bagi membincangkan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor berkata persiapan awal penting bagi memastikan jentera parti termasuk ahli akar umbi sentiasa dalam keadaan bersedia.

“Kita perlu mengadakan persiapan lebih awal agar jentera pilihan raya GRS bersiap siaga menghadapi pilihanraya umum akan datang”, tegasnya.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di Ibu Pejabat GRS, Alamesra, di sini, hari ini.

Mesyuarat dihadiri tiga Timbalan Pengerusi GRS iaitu Datuk Seri Maximus Ongkili, Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Yong Teck Lee.

Turut hadir Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun,Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai, Bendahari GRS Ardino Diris dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Hajiji berkata, mesyuarat kali ini tidak membincangkan tentang permohonan parti-parti politik yang berminat menyertai GRS.

“Setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai penerimaan lain-lain parti ke dalam GRS. Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang”, tambahnya.

Sementara itu GRS juga akan mengadakan jerayawara Program GRS Bersama Rakyat di setiap kawasan parlimen negeri itu bermula Ogos ini bagi memberi penerangan kepada pengundi.