SEREMBAN: Penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memberi gambaran beliau akan mempertaruhkan nasib pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi yang dimenangi oleh parti lawan pada PRU14 lalu.

Tanpa mendedahkan kerusi di Parlimen mana, Khairy berkata buat masa ini terdapat tiga pilihan kawasan yang sedang dipertimbangkan dan beliau secara terbuka menerima cabaran berkenaan.

"Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang di pegang oleh parti lawan, hampir pasti saya tidak akan dapat kerusi yang dianggap kerusi selamat dan kita tengok daripada pucuk pimpinan mana kerusi itu.

"InsyaAllah saya terima cabaran tersebut demi parti menggalas tanggungjawab untuk pergi mewakili parti saya di kawasan yang kita kalah, pelbagai negeri.

"Perbincangan dengan pucuk pimpinan dah ada, keputusan kerusi mana belum lagi, masih dalam penilaian pucuk pimpinan perbincangan sedang berlangsung, tetapi hampir pasti saya dihantar ke kawasan yang dulu kalah lah. Nak kena cuba menang balik," katanya.

BACA: KJ bertembung setiausaha akhbar MB di Kuala Pilah?

BACA: PRU15: Tarikh mengundi ditetapkan 19 November

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!

[TERKINI] PRU15 | Khairy beri gambaran dapat kerusi tak selamat

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Perantisiswa Keluarga Malaysia (Zon Selatan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban pada Jumaat.

Sebelum ini khairy mengumumkan memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 nanti.

Ia sekali gus menjadi teka-teki kerusi mana yang akan ditandingi Khairy nanti.

Namun, tiga kerusi Parlimen lain di Negeri Sembilan yang disebut-sebut akan diwakili Menteri Kesihatan itu termasuk Kuala Pilah, Tampin dan Port Dickson.

Kuala Pilah dan Tampin sebelum ini dikatakan antara kerusi kubu kuat BN di negeri itu, namun tewas pada PRU15 lalu.