KINABATANGAN: 'Kecil-kecil cili padi' - itulah pepatah sesuai menggambarkan sosok calon wanita diketengahkan Parti Warisan (Warisan) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan Mazliwati Abd Malek pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Walaupun orangnya bertubuh kecil, namun semangatnya tetap berkobar-kobar untuk berdepan 'gergasi politik' Sabah di Kinabatangan iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin, sekali gus tekad menyumbang kemenangan sulung Warisan di kawasan yang sudah sekian lama menjadi kubu kuat BN.

Mazliwati, 49, juga dilihat sudah cukup bersedia turun ke gelanggang pertarungan satu lawan satu dengan Bung Moktar yang juga sepupunya, walaupun tahu beliau berdepan dengan calon berpengalaman luas dalam politik dan bukan calang-calang orang.

"Ini (Parlimen Kinabatangan) sahaja kerusi yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di Sabah (PRU15). Saya berdepan dengan orang berpengalaman, 'gergasi politik' yang sudah lima penggal (menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan). Saya muka baharu, namun saya meletakkan keyakinan penuh atas kebijaksanaan rakyat (untuk memilih)," katanya.

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Mazliwati yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of London berkata bagi memastikan kemenangan, beliau menawarkan banyak perubahan dan penambahbaikan kepada rakyat kawasan Kinabatangan.

Anak sulung kepada tokoh politik Sabah, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Allahyarham Datuk Abd Malek Chua itu berkata, ini termasuk membangunkan pendidikan kondusif ke arah melahirkan generasi Kinabatangan berminda kelas pertama serta memperkasa pembangunan sosio ekonomi rakyat.

Mazliwati yang mula berkecimpung dalam politik pada 2016, turut menggariskan beberapa inti pati dalam manifestonya, termasuk mahu melakukan revolusi ekonomi sebagai langkah menangani isu kos sara hidup, selain ingin membina ketahanan serta menguatkan sistem kesihatan untuk penduduk Kinabatangan.

Sementara itu Bung Moktar ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon pada 5 Nov lepas berkata, beliau yakin dapat mempertahan kerusi itu berdasarkan sambutan masyarakat setempat dan gerak kerja tersusun antara jentera BN dengan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada PRU14, Bung Moktar menang dengan majoriti 9,478 undi menewaskan Ghazali Abdul Ghani daripada Warisan dan Mustapa Datu Tambuyong (Parti Harapan Rakyat Sabah).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal bagi PRU15 adalah pada 15 Nov, manakala 19 Nov sebagai hari mengundi.

-- BERNAMA