JEMPOL: Walaupun dilamar beberapa parti politik selepas tidak tercalon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ketua Bahagian Jempol Datuk Seri Mohd Salim Sharif tekad untuk terus berada dalam saf kepimpinan Barisan Nasional dan akan memberikan sokongan kepada calon yang baharu Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli.

Jelasnya ketika ditemui media hari ini, kesedihan yang melanda tidak harus dipanjangkan memandangkan kemenangan BN itu lebih penting.

"Ya, saya akan setia (bersama BN) untuk memastikan kemenangan bagi Parlimen Jempol ini.

"Walaupun sebahagian penyokong menyuarakan pelbagai perasaan, saya akan berjumpa mereka agar meneruskan perjuangan ini, " katanya.

Bagaimanapun jelasnya, bukan kesedihan tidak terpilih sebagai calon yang menjadi persoalannya, tetapi lebih kepada perasaan terkilan dengan cara pucuk pimpinan menggugurkan nama bagi setiap penyandang kerusi Parlimen sedia ada.

Malah katanya, ada cara yang lebih baik untuk sekurang-kurangnya meredakan perasaan setiap penyandang sekali gus mampu melegakan penyokong setia mereka masing-masing.

"Ya lah... sepatutnya kita kena ada cara menguruskan kekecewaan dan kesedihan itu.

"Tapi apapun, ia telah berlaku dan seterusnya kita kena tumpu pada kerja yang perlu kita buat," katanya lagi.


Kerusi Parlimen Jempol hangat diperkata selepas Ketua Bahagiannya itu yang juga merupakan penyandang bagi kerusi tersebut digugurkan dan digantikan dengan calon baharu.

Malah ia menimbulkan pelbagai spekulasi sejak semalam selepas beliau dikatakan telah ditemui oleh pelbagai pimpinan parti politik yang dikaitkan dengan penawaran sebagai calon mereka.