BERA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan yang prihatin dengan kebajikan serta keperluan rakyat termasuk kepada golongan belia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia boleh dilihat menerusi pemberian pelbagai bentuk bantuan serta pengumuman inisiatif kepada golongan belia termasuk dalam aspek perumahan dan perniagaan supaya golongan tersebut boleh meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

"Banyak yang telah diumumkan termasuk dalam bidang perniagaan seperti pinjaman mudah kepada mereka (untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan). Malah dahulu di Bera, kita ada program mobilepreneur sebelum kerajaan 22 bulan batalkan, yang kita kembalikan semula untuk membantu rakyat.

"Jadi belia boleh memohon untuk mendapatkan motosikal untuk digunakan bagi tujuan perniagaan," katanya semasa berucap pada Program Moh Wei 2 Wheel Motorsport@Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Sebagai contoh keprihatinan kerajaan dalam memastikan golongan belia mampu memiliki rumah sendiri, Ismail Sabri merujuk kepada pengumuman pelaksanaan Skim Jaminan Kredit Perumahan yang membolehkan mereka tidak mempunyai slip gaji membuat pinjaman untuk membeli rumah.

"Skim ini membuka peluang kepada anak muda untuk memiliki rumah kerana kerajaan sendiri akan menjadi penjamin bagi pinjaman perumahan mereka," katanya.

Khusus di Bera, Ismail Sabri berkata 1,000 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di Bandar 34, melibatkan rumah teres tiga bilik yang dijual pada harga RM45,000 seunit selepas disubsidi kerajaan berbanding harga asal bernilai lebih RM160,000.

Selain kebajikan, Perdana Menteri berkata kerajaan juga peka dengan minat golongan muda, termasuk dalam sukan permotoran yang dapat dilihat menerusi pengumuman peruntukan RM20 juta untuk membina litar drag bagi menggalakkan belia menyertai sukan permotoran menerusi platform yang tepat.

Antara lokasi pembinaan litar itu ialah di Bera bagi Pahang, kata Ismail Sabri yang disambut dengan sorakan dan tepukan peminat sukan permotoran yang 'berkampung' di dewan konvensyen itu sejak pagi tadi.

Ismail Sabri bagaimanapun, mengingatkan bahawa Bajet 2023 'memerlukan sokongan rakyat' kerana ia perlu dibentangkan semula untuk diluluskan, memandangkan Parlimen telah dibubarkan tiga hari selepas pembentangan belanjawan itu.

-- BERNAMA