SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional bagi P107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mendedahkan beliau mempunyai misi yang lebih besar di masa akan datang, iaitu ‘membersihkan’ kembali UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sewaktu berucap di satu majlis di Kelab Putra Rahman di sini malam ini, Menteri Kesihatan itu berkata, beliau juga mahu mengembalikan UMNO khususnya menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu, seperti satu ketika dulu.

Namun, Khairy berkata, pertama sekali yang beliau perlu lakukan ialah memenangi kawasan Parlimen itu, dan seterusnya memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kembali menjadi Perdana Menteri.

“Cuma UMNO (kini) dah sesat, dan kena kembali ke pangkal jalan. Kena fix (perbaiki) balik UMNO ni lagi, perbetulkan UMNO. Dan saya bukan 'yes man'. Pertama, saya nak menang pilihan raya ini, nak pastikan Ismail Sabri kembali menjadi Perdana Menteri, selepas itu kita bersihkan balik UMNO dan BN, kita cuci balik.

“Saya seorang reformis dalam UMNO, tak boleh kunci mulut, sebab itu (agaknya) saya dihantar ke Sungai Buloh,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Silaturrahim anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (Perakam) di sini, malam ini.

Mengakui bertanding di Sungai Buloh merupakan cabaran terbesar dalam karier politiknya, Khairy berkata, ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan.

Katanya lagi, biarpun Selangor merupakan negeri yang sekian lama didominasi Pakatan Harapan, beliau bukan seperti pemimpin lain dalam UMNO yang hanya berani memilih untuk bertanding di kawasan selamat.

“Buat kali pertama, ada wakil daripada parti saya yang memegang jawatan di dalam Jemaah Menteri, yang berani untuk bertanding (di kawasan tidak selamat) di Selangor.

“Selama ini tokoh besar dalam parti saya selalu cuba, dan memilih kawasan yang selamat. Sebab itu tidak ada saingan yang hebat di Selangor. Kalau dulu yang menang Tan Sri Noh Omar saja. Itu pun di Tanjung Karang.

“Nak datang sedikit bandar mcm Sungai Buloh tak ada siapa yang berani. Kuala Selangor pun tiada yang berani, kecuali Tengku Zafrul pergi ke Kuala Selangor. Walaupun ada sedikit kenyataan saya dan Presiden (yang berbeza), akhirnya saya juga yang pilih untuk lawan di sini,” tegasnya lagi.

Atas sebab itu Khairy berharap agar penduduk Sungai Buloh dapat bersama-sama dengan beliau untuk misi yang lebih besar, bersama-sama bergerak untuk memimpin negara pada masa akan datang.