SUNGAI BULOH: Sebarang keputusan untuk menamakan mana-mana Ahli Parlimen sebagai Timbalan Perdana Menteri, hanya akan dibincangkan selepas Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dahulu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri itu berkata, penting untuk mendapat keputusan pilihan raya umum terlebih dahulu, biarpun ada beberapa pihak menggesa beliau untuk mempertimbangkan calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin untuk jawatan nombor dua kerajaan itu.

Kata Naib Presiden UMNO itu lagi, apa yang penting ‘Keluarga Malaysia’ harus memberi peluang dan sokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan di Putrajaya dahulu.

“Kita menang dulu, kita belum bincang lagi. Sama ada calon daripada UMNO, calon daripada Sabah, calon daripada Sarawak, semuanya akan diputuskan selepas kita menang.

“Jadi saya menyeru seluruh rakyat untuk memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN). Insya-Allah kita akan lantik Timbalan Perdana Menteri seperti dijanjikan. Siapa tu nanti akan ditentukan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri program Ramah Mesra Perdana Menteri dan Calon BN Parlimen Sungai Buloh di Uptown Kota Dame, di sini malam ini.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Zahid jadi PM hanya mainan parti lawan'

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Baru-baru ini Exco Pemuda UMNO Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin telah mencadangkan agar Khairy perlu dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, kerana merasakan ia mampu menarik lebih banyak sokongan kepada BN.

Khairy juga siri-siri kempennya, dengan terbuka mengakui beliau ingin memimpin UMNO dan negara ini di masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata, saingan masih berbaki lima hari lagi, dan lebih banyak kerja perlu dilakukan untuk menarik sokongan daripada penduduk kawasan yang telah dikawal PH selama tiga penggal itu.

“Saya membaca pelbagai laporan, dan mendengar pandangan dari pelbagai pihak, kajian, pusat panggilan dan sebagainya. Kami tahu penduduk Sungai Buloh mahu keterbukaan, dan mungkin ada di antara mereka yang masih belum memutuskan untuk menyokong siapa.

“Saya diberitahu mereka dalam dilema, mahu memberi peluang kepada KJ walaupun mereka adalah pengundi tradisional untuk Pakatan Harapan. Tetapi ada angin perubahan di sini. Tiga penggal di bawah PH, dan terlalu banyak isu asas yang perlu diselesaikan.

“Dan ini boleh dilakukan jika mempunyai seorang Ahli Parlimen yang kuat, yang mempunyai pengalaman (dalam kerajaan), serta kemampuan untuk mengkoordinasi dan menarik perhatian (pihak berkuasa),” katanya lagi.


Sementara itu, Khairy ketika mengulas mengenai cadangan beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, berkata apa yang penting ialah memenangi kawasan itu, dan BN memenangi PRU15 secara keseluruhan.

Katanya lagi, beliau akan tetap menyokong Ismail Sabri dalam apa jua kapasiti atau peranan, seperti mana yang dilakukan sebelum ini.

“Seperti mana Perdana Menteri sebut tadi , biar kita menang dulu. I have a good relationship with PM, I look forward to support him in whatever role. He gave me senior role, sebagai Menteri Kesihatan. I hope to support him in whatever role. Paling penting menang dulu,” katanya lagi.