SUNGAI BULOH: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) bagi kawasan P107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin hari ini menggariskan empat teras dalam manifestonya bertajuk #KataJanjiSungaiBuloh.

Dari Sejahtera Sungai Buloh, kepada Digital Sungai Buloh, hinggalah ke Sihat Sungai Buloh dan Lestari Sungai Buloh, dokumen setebal 15 muka surat itu dilihat menyentuh setiap aspek kehidupan untuk segenap lapisan masyarakat di kawasan itu.

“Saya bukan saudagar mimpi bulan bintang. Kesemua pengisian ini bersandarkan pengalaman saya sebagai Ahli Parlimen selama tiga penggal di Rembau, serta pengalaman menerajui tiga kementerian (Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi; serta Kementerian Kesihatan).

“Saya percaya setiap isi manifesto ini mampu dilaksanakan dan dicapai. Saya amat mengharapkan sokongan semua di Sungai Buloh. Kata janji ini sebagai tekad dan komitmen saya kepada Sungai Buloh sekiranya diberi peluang sebagai Ahli Parlimen di sini,” katanya melalui perkongsian video di laman media sosial beliau.
Antara yang menarik perhatian dalam teras Sejahtera Sungai Buloh ialah – memperkasa peranan persatuan penduduk dan JMB, melaksana projek mitigasi banjir, dan memperluas jaringan pengangkutan first mile, last mile antara kawasan perumahan dan stesen kereta api.

Selain itu, Khairy juga akan menubuhkan Pusat Komuniti Sungai Buloh untuk golongan OKU dan warga emas, selain peluasan akses jagaan kanak-kanak untuk golongan B40.

Tidak dilupakan juga, Pusat Intervensi dan Tingkah Laku Autisme, selain menyediakan ekosistem bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sumbangan kaum wanita kepada pembangunan Sungai Buloh.

Bagi teras Digital Sungai Buloh, Khairy ingin melaksanakan sistem aduan secara terus mengenai masalah di kawasan itu, selain memperluaskan lagi capaian 5G, dan program tuisyen atas talian kepada murid tahun peperiksaan.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Tak salah saya bercita-cita tinggi mahu jadi perdana menteri - Khairy

SEMAK CALON PRU15 DI SINI


Selain itu, usaha mewujudkan peluang perniagaan digital dan kemudahan internet bagi masyarakat Orang Asli, serta menjadikan Sungai Buloh sebagai hab National Technology & International Sandbox.

Selain mewujudkan program e-Sports dan One Stop Digital Trading Platform bagi komuniti Sungai Buloh, Khairy juga berhasrat untuk mewujudkan program pengajian al-Quran secara atas talian bersama guru agama bertauliah.

Melalui teras Sihat Sungai Buloh, Khairy ingin memperluaskan lagi akses saringan kesihatan PeKa B40, menaiktaraf infrastruktur fasiliti kesihatan kerajaan, dan menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai Institut Kawalan Penyakit Berjangkit Kebangsaan.

Bagi melestarikan lagi Sungai Buloh, Khairy ingin mewujudkan Program Kesediaan Persediaan Bencana, mewujudkan konsep Gardens by Sungai Buloh, serta memberi penekanan terhadap sumber boleh diperbaharui.

Khairy juga ingin meningkatkan akses terbaik kepada golongan OKU dan warga emas, melindungi Taman Rimba Kota Damansara, melaksanakan Program Sungai Buloh Bandar Bersih, serta menambah laluan basikal dan penghubung dalam kawasan itu.


Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan pula dilaporkan akan mengumumkan manifestonya di Ceramah Mega di Kota Damansara, di sini esok.

Antara lain, manifesto itu akan menekankan langkah terbaik dalam menangani bencana banjir di Parlimen Sungai Buloh.

Selain Khairy, Ramanan selaku parti penyandang di kawasan itu, akan berhadapan dengan lima lagi pencabar iaitu Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Akmal Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz (PRM), dan dua calon Bebas iaitu Syed Razak AlSagoff dan Nurhaslinda Basri.