KAPAR: Calon Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mahu memajukan Kapar setanding dengan Shah Alam dan Klang sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Calon Pakatan Harapan (PH) berkata, ini berikutan Kapar sedikit ‘tempang’ berbanding Shah Alam dan Klang yang dilihat lebih maju.

“Salah satu iltizam saya adalah berhasrat untuk menambah baik dalam membentuk gabungan 'segi tiga' antara Klang, Shah Alam dan Kapar, dimajukan dalam keadaan segi tiga itu, sebab saya tengok Kapar ini sedikit tempang.

"Saya tak mahu Kapar dikategorikan tempang. Insya-Allah, saya nak majukan Kapar dalam standard yang sama dengan Shah Alam dan Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Sinar Live bertajuk 'Kapar Bukan Anak Tiri' di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kapar.

Program yang dikendalikan oleh Hazwan Mokhtar itu disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian semalam.

Selain itu, beliau berkata, penambahan sekolah menjadi satu agenda utamanya susulan melihat kepada kepadatan sekolah dengan jumlah anak murid dan keadaan yang sempit.

“Ini memberi kekuatan kepada saya untuk memastikan pembinaan sekolah di Kapar,” ujarnya.

Menurut Abdullah Sani, beliau bercita-cita untuk mewujudkan sebuah kompleks perpustakaan di Kapar bagi memberi kemudahan kepada pelajar.

“Kompleks ini merupakan satu keperluan kerana banyak pelajar di Kapar pergi ke Shah Alam atau Klang untuk menambah pengetahuan dan ilmu,” ujarnya.

Beliau juga berhasrat untuk mencadangkan satu laluan khas untuk lori bagi mengelakkan kenderaan itu melalui jalan utama.

“Saya cadangkan supaya laluan dari Port Klang pergi ke lebuh raya melalui satu laluan lori. Lori tidak menggunakan jalan utama sekali gus menyebabkan jalan utama itu mudah rosak,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau turut berhasrat mewujudkan stadium mini untuk bola sepak memandangkan Kapar tiada lagi stadium sedemikian. - Sinar Harian