KUALA SELANGOR: Seorang anggota polis yang mengalami cacat penglihatan tidak melepaskan tanggungjawab kepada negara apabila tiba di pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, pada Selasa.

Koperal Abdullah Sidee Mohamed, 34, berkata, dia amat teruja untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan antara paling awal tiba di pusat pembuangan undi.

Katanya, proses pembuangan undi dibantu seorang rakannya, Koperal Amir Osman untuk ke pusat pengundian yang dibuka pada jam 8 pagi.

"Saya rasa lega apabila dapat menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dan berharap negara terus kekal dan stabil pada masa akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Abdullah Sidee berkata, PRU15 adalah kali kedua dia mengundi dalam keadaan masalah penglihatan.

Jelas beliau, dia mengalami masalah ketumbuhan besar pada saraf mata sejak tahun 2017 lagi.

"Meskipun dalam keadaan kurang sempurna, namun saya tidak mahu melepaskan peluang sebagai salah seorang pemilih yang menentukan masa depan negara," katanya.

Dia yang bertugas di Bahagian Logistik dan Cawangan Pengangkutan IPD Kuala Selangor itu berkata, proses pengundian juga mudah dan diberi tunjuk ajar oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Terima kasih kepada SPR yang membantu memudahkan proses pengundian pada hari ini dengan lancar dan tiada sebarang masalah," jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa menjadi pengundi pertama yang melaksanakan tanggungjawab di pusat pengundian di IPD Kuala Selangor.

Sebagai seorang ketua, beliau ingin menunjukkan contoh terbaik kepada anggota dan pegawai supaya melaksanakan amalan demokrasi subur di negara ini.

"Saya selalu ke hadapan bukan sahaja dalam urusan pengundian, malah dalam semua aspek supaya menjadi ikutan kepada polis di sini.

"Saya tunggu setengah jam lebih awal sebelum pintu pusat pengundian dibuka lagi dan ketika itu hanya ada lebih kurang 10 ke 15 pegawai serta anggota mula beratur," jelas beliau.

Ditanya mengenai proses pengundian di IPD Kuala Selangor, Ramli berkata, seramai 421 anggota dan pegawai mengundi awal di empat saluran di daerah berkenaan.

Katanya, tiga saluran itu di IPD Kuala Selangor dan satu saluran di Balai Polis Tanjong Karang.

"Persediaan SPR sudah dilakukan sejak jam 7 pagi lagi dan proses pembuangan undi awal dilakukan pada jam 8 pagi.

"Setakat jam 9.20 pagi ini, proses pengundian berjalan lancar dan telah ramai anggota dan pegawai keluar mengundi," kata beliau. -Sinar Harian