KOTA BHARU: Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata masih ada ruang untuk kerjasama politik antara parti itu dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata pucuk pimpinan kedua-dua parti itu perlulah mengambil pendekatan yang bijaksana kerana pada peringkat bawahan pemuafakatan kedua-dua parti masih boleh diterima.

"Saya nampak sebenarnya UMNO dan Pas boleh menjadi tunjang dan saya tidak nampak sangat parti-parti yang lain.

Jadi sebenarnya kerjasama UMNO dengan Pas ini tersangat penting dan tidak dapat tidak, mesti bekerjasama," beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Ketereh dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, di sini hari ini.

Annuar mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini bahawa Pas masih terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRU15, termasuklah merealisasikan penyatuan ummah.

Annuar berkata pada pemerhatiannya, Pas dilihat tidak menutup pintu kerjasama dengan UMNO dan beliau memahami situasi mereka.

"Ruang untuk bekerjasama masih ada sebab itulah tidak perlu terlalu emosi sebaliknya terus menggunakan setiap peluang yang ada untuk terus berunding.

Kita faham dan tidak mahu menekan Pas kerana mereka ahli-ahli parti (Perikatan Nasional) secara berdaftar dan ini bukan satu perkara yang mudah untuk mereka mengumumkan keluar (PN) semata-mata kerana mahu bersama dengan UMNO tetapi muafakat dalam kalangan rakyat dan pengundi sudah berlaku di akar umbi," katanya.

-- BERNAMA