KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menjangkakan peratus keluran mengundi dalam kalangan pengundi muda adalah rendah iaitu kurang daripada 50 peratus daripada jumlah keseluruhan golongan itu 932,541 orang.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, dapatan itu diperoleh MBS daripada pemerhatian dan maklum balas pengerusi pelbagai kelab dan persatuan di negeri itu.

Beliau turut menjelaskan, hal itu berpunca daripada literasi politik yang rendah selain kekangan kewangan turut membataskan kehendak pengundi pulang ke kawasan masing-masing pada hari pembuangan undi.

"Peratus keluar mengundi belia di Sabah dijangka kurang daripada 50 peratus berdasarkan faktor literasi politik yang rendah selain kekangan kewangan untuk pulang ke kawasan masing-masing untuk membuang undi," katanya.

Mengulas mengenai sentimen pengundi muda di negeri itu, Abqaree berkata pengundi muda secara umumnya lebih cenderung memilih calon wakil rakyat yang mampu menawarkan penyelesaian kepada masalah pendapatan rendah, pemilikan rumah, dan kos sara hidup yang semakin meningkat selain mempunyai perwatakan mesra rakyat.

"Pengundi muda ketika ini banyak tertumpu kepada isu peluang menjana pendapatan, pemilikan rumah, dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Pengundi muda yang mempunyai kesedaran politik lebih cenderung memilih wakil rakyat yang berperwatakan sederhana dan dekat dengan mereka," ujar Abqaree.

Untuk rekod, Sabah mencatatkan bilangan pengundi muda kelima tertinggi di seluruh Malaysia iaitu seramai 932,541 orang mewakili 55.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Sabah seramai 1,689,387 orang berdasarkan statistik terakhir yang dikeluarkan oleh SPR pada 9 Oktober.