TENOM: Tempoh berpolitik sudah habis dan sudah tiba masanya untuk bekerja, kata Riduan Balang calon Bebas yang berjaya merebut kerusi Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) Sabtu lalu.

Riduan berhasrat supaya kawasan Parlimen Tenom terus menerima impak pembangunan mapan, lebih-lebih lagi dengan keadaan geografinya yang berhampiran dengan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur yang diberi nama Nusantara

"Jarak kawasan Parlimen Tenom dengan ibu negara baharu Indonesia amat berdekatan dan saya kira ia akan membawakan limpahan ekonomi yang cepat kepada Tenom.

"Ia sekali gus bertepatan dengan misi saya sebelum ini untuk meningkatkan ekonomi setempat seiring dengan senario semasa pembangunan di Nusantara, Indonesia tidak lama lagi," katanya selepas bertemu dengan jenteranya di sini pada Isnin.

Riduan yang bertanding atas tiket Bebas mampu mencatat sejarahnya tersendiri apabila berjaya menumbangkan pesaingnya termasuk penyandang kerusi berkenaan, Noorita Sual dari Pakatan Harapan (PH), calon BN, Jamawi Jaafar, calon Parti Warisan (Warisan), Ukim Buandi dan seorang lagi calon Bebas, Peggy Chaw Zhi Thing.

Beliau melihat senario politik yang berlaku di Parlimen Tenom sebagai kematangan daripada pengundi di kawasan itu terutamanya golongan muda.

"Saya amat bersyukur atas keputusan ini dan berterima kasih kepada semua pengundi, keluarga serta jentera yang bertungkus lumus membantu sepanjang tempoh berkempen ini.

"Kita berjanji akan menjaga Parlimen Tenom sebaik mungkin dan menunaikan manifesto yang telah dijanjikan," katanya.

Sebelum itu, Riduan menang dengan majoriti 1,108 undi apabila memperolehi sebanyak 10,027 undi, menewaskan Noorita yang memperolehi 8,919, Jamawi (8,625 undi), Ukim (992 undi) dan Peggy Chaw (86 undi).

Sebelum menawarkan diri bertanding atas tiket Bebas, Riduan merupakan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tenom dan anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tenom.

Beliau meletak jawatan sebelum penamaan calon bagi mengambil bahagian dalam PRU15 dan beberapa hari selepas itu dipelawa menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) oleh Presidennya, Datuk Peter Anthony. -Sinar Harian