BUKIT MERTAJAM: Dua calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dari Barisan Nasional (BN) dan calon Pakatan Harapan (PH) Nurul Izzah Anwar, mempunyai misi berbeza dalam usaha menawan kerusi Parlimen itu.

Bagi Mohd Zaidi, dengan kemenangan membolehkan beliau menangani isu pembangunan di kawasan berkenaan manakala Nurul Izzah pula mahu terus berkhidmat kepada pengundi di situ.

Mohd Zaidi berkata, beliau akan mengetengahkan isu dan masalah melanda pengundi di Permatang Pauh berikutan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, sekolah dan rumah untuk golongan miskin, masih kurang.

"Isu-isu ini akan jadi bahan atau tajuk strategi kempen dan ini yang kita akan tawarkan kepada masyarakat Permatang Pauh. Sepanjang 23 tahun segala pembangunan di sini kelihatan terbantut.

"Satu perubahan diperlukan supaya isu ini dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, BN dan PH kini 'bermain' di gelanggang sama kerana kedua-dua parti itu pernah berada di pihak kerajaan dan pembangkang dan sedikit sebanyak membantu BN untuk tampil dengan strategi baharu pada PRU15.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandang Nurul Izzah (PH-PKR), Mohd Zaidi (BN-UMNO), Muhammad Fawwaz Mat Jan (PN-Pas) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang-Putra).

Bagi Nurul Izzah, 42, beliau berharap untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana masih banyak perubahan mahu dilakukan kepada negara.

Katanya, kemenangan itu demi menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhan selain melakukan penambahbaikan dan perubahan dengan efektif.

"Antara komitmen saya adalah memastikan 20 peratus murid di seluruh negara yang dianggarkan buta huruf mendapat pembelajaran. Perkara ini cuma boleh diselesaikan melalui peringkat Pusat," katanya.

Pada PRU14, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR memenangi kerusi itu dengan 35,534 undi. Beliau menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 15,668 undi. - BERNAMA