PADANG SERAI: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Mohamad Sofee Abd Razak, 47, sebagai calon baharu bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk kerusi Parlimen Padang Serai (P.017).

Pengumuman dibuat Pengerusi PH Johor, Datuk Salahuddin Ayub dalam majlis pengumuman calon Pakatan Harapan Parlimen Padang Serai di Kulim, Kedah sebentar tadi.

Peguam berasal dari Tasek Gelugor itu juga merupakan Setiausaha PH Kedah dan Setiasaha PKR Kedah.

Sementara itu, Mohamad Sofee dalam ucapan ringkasnya berkata, pemilihannya sebagai calon Parlimen Padang Serai bagi menggantikan mendiang M Karupaiya merupakan tanggungjawab besar yang harus dipikul untuk mempertahankan  kemenangan PH di Parlimen itu.

Pada PRU14 lalu, Mohamad Sofee Razak adalah calon PKR yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Kuala Ketil.

Parlimen Padang Serai sepatutnya menyaksikan pertandingan enam penjuru antara penyandang kerusi berkenaan, M Karupaiya dari PH ditentang Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (BN), Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN), dan calon bebas, Ananda AK.

M Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim tiga hari sebelum hari pengundian dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dan pengundian awal pada 3 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam 6 Dis