LAHAD DATU: Datuk Mohamaddin Ketapi menyatakan kesediaan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lahad Datu atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Ketua Perhubungan PBM bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan hasil pucuk pimpinan bersama Barisan Nasional (BN) memandangkan parti itu adalah mesra BN.

"InsyaAllah kita akan mempertahankan (kerusi Lahad Datu). Sekarang ini kita adalah kawan kepada BN, jadi apabila kita sudah jadi kawan kepada BN kita akan menunggu hala tuju daripada BN hasil daripada kerjasama yang terjalin," katanya pada sidang media di Lahad Datu.

Pada Oktober 2021 Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Parti Warisan dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selepas lapan bulan penyandang kerusi Parlimen Lahad Datu itu bertindak keluar Bersatu sebelum menyertai PBM.

Selain itu, Mohamaddin menyambut baik tarikh-tarikh penting yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk tempoh berkempen selama 14 hari.

"Pengumuman tarikh-tarikh penting itu di bawah kuasa SPR untuk menentukannya. Saya tidak boleh cakap hari ini yang sesuai hari ini tidak sesuai.

"Apa yang mereka umumkan terpulang kepada mereka," katanya.