JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan calon akhir Mutalib Uthman di kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pengumuman calon Masjid Tanah itu melengkapkan enam calon dari parti tersebut yang akan bertanding di Parlimen negeri Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, dan Sabah.

Katanya, semua kerusi MUDA ini adalah hasil rundingan dan kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH).

"MUDA juga akan bertempur melawan calon berstatus menteri di lima dari enam kawasan Parlimen.

"Pada PRU15 ini, MUDA menawarkan calon-calon dengan rekod berkhidmat yang cemerlang.

"Profesional dalam bidang masing-masing, termasuklah kejuruteraan, mantan Ahli Parlimen, petani moden, ikon bidang pembukuan, peguam hak asasi manusia, dan aktivis pendidikan kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, MUDA mengumumkan presiden parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai calon Parlimen Muar.

MUDA minggu lalu mengumumkan tiga calon yang akan bertanding di kubu kuat BN, iaitu Danial Abd Majeed (Kepala Batas, Pulau Pinang), Siti Rahayu Baharin (Tanjong Karang, Selangor) dan Lim Wei Jiet (Tanjung Piai, Johor).

Jelas Amira Aisya, perjuangan kali ini bukan sahaja untuk melawan pemerintah UMNO-BN, tetapi untuk membina semula Malaysia yang lebih baik buat semua rakyat Malaysia.

"Dalam tempoh 2 minggu ini, saya akan menjelajah ke seluruh negara, membantu kempen calon-calon MUDA-Harapan dan memastikan pada 19 November ini, semua rakyat Malaysia turun mengundi," katanya.