JERANTUT: Calon Perikatan Nasional (PN), Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menyifatkan Parlimen Jerantut kini bukan lagi boleh disifatkan sebagai kerusi selamat atau 'safe deposit' dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, jumlah pengundi baharu dan pengundi 18 tahun di Parlimen itu menyaksikan peningkatan lebih 20,000 pemilih yang layak untuk menunaikan tanggungjawab pada 19 November ini.

"PRU15 ini adanya pengundi baru, di tempat saya sahaja Parlimen Jerantut kita ada pertambahan 20,000 lebih pemilih.

"Jadi, tiada mana-mana parti yang boleh mengatakan kerusi ini adalah safe deposit kepada mereka, hadap pilihan raya ini, kita tengok keputusan pada 19 November nanti," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat itu turut menzahirkan keyakinan bahawa PN mampu menakluki kerusi terbabit kali ini.

"Kita amat serius kebangkitan PN di Pahang ini sehinggakan kita melancarakan manifesto kita semalam (Rabu) yang mempunyai kerangka amat sesuai dengan rakyat negeri Pahang.

"Iaitu di antara formula dan solusi kita berikan kepada rakyat Pahang supaya rakyat Pahang boleh memilih kami sebagai pengganti kepada Barisan Nasional (BN) di negeri ini," ujarnya.

Khairil Nizam berdepan dua saingannya iaitu calon BN, Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar dan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan bagi kerusi Parlimen Jerantut dalam PRU kali ini.

Dalam PRU14 lalu, Parlimen Jerantut dimenangi Datuk Ahmad Nazlan dari BN dengan majoriti 5,908 undi menewaskan calon Pas, Yohanis Ahmad, dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Mohd Shahrir.

Mengikut data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 87,051 pemilih layak mengundi bagi Parlimen itu.