Skip to main content

Malaysia

Rasionalisasi subsidi tidak boleh jejas golongan miskin - Anwar

walaupun langkah rasionalisasi seperti penyasaran subsidi petrol RON95 penting bagi meringankan beban fiskal kerajaan serta mengekang pembaziran, pelaksanaannya wajib mengambil kira realiti kehidupan rakyat terbanyak yang masih bergelut memenuhi keperluan asas harian, kata Perdana Menteri. - Gambar hiasan/ Bernama
walaupun langkah rasionalisasi seperti penyasaran subsidi petrol RON95 penting bagi meringankan beban fiskal kerajaan serta mengekang pembaziran, pelaksanaannya wajib mengambil kira realiti kehidupan rakyat terbanyak yang masih bergelut memenuhi keperluan asas harian, kata Perdana Menteri. - Gambar hiasan/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan rasionalisasi subsidi tidak boleh sesekali menjejaskan kelangsungan hidup golongan miskin, manakala agenda reformasi ekonomi mesti berani menangani isu rasuah dan ketirisan dana negara, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, walaupun langkah rasionalisasi seperti penyasaran subsidi petrol RON95 penting bagi meringankan beban fiskal kerajaan serta mengekang pembaziran, pelaksanaannya wajib mengambil kira realiti kehidupan rakyat terbanyak yang masih bergelut memenuhi keperluan asas harian.

“Bagi saya, tanggungjawab, waad nasional, waad negara, pemerintahan itu harus menjamin setiap orang ada makanan,” katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 14 di sini, malam tadi.

Advertisement

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad serta Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute, Dr Sarena Che Omar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, subsidi kepada golongan miskin tidak seharusnya dianggap sebagai punca kebergantungan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan keperluan mereka untuk meneruskan kehidupan serta peluang meningkatkan taraf ekonomi.

Advertisement

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang bentuk bantuan kebajikan yang mewujudkan kebergantungan berpanjangan wajar ditambah baik melalui penyediaan peluang pekerjaan serta pemerkasaan keupayaan ekonomi penerima, bukannya dengan memotong subsidi sehingga mengabaikan kebajikan asas mereka.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, reformasi ekonomi tidak akan mencapai matlamat sekiranya hanya tertumpu kepada penggubalan dasar tanpa disertai komitmen integriti dan akauntabiliti oleh sektor korporat serta semua peringkat pentadbiran kerajaan.

"Berapa banyak kebocoran? Berapa banyak rasuah? Berapa banyak ketirisan? Berapa banyak puluhan bilion subsidi yang hilang disonglap dan disakau? Apa, ini perkara yang tidak berlaku? Berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menuntut komitmen menyeluruh daripada kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan ketirisan serta penyelewengan dana dibendung secara habis-habisan.

Beliau berkata, langkah itu penting supaya peruntukan dan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran, sekali gus memastikan dasar ekonomi MADANI dapat dilaksanakan berlandaskan prinsip keadilan dan kemanusiaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement