MOMBASA: Seorang pendakwah yang mengaku dirinya paderi di Kenya, Paul Mackenzie dijatuhi hukuman penjara 200 tahun pada Jumaat selepas didapati bersalah membunuh 190 kanak-kanak dan seorang dewasa dalam kes kebuluran yang menggemparkan negara itu.
Ratusan mayat ditemukan sejak 2023 di pangkalan kumpulan berkenaan berhampiran kawasan peranginan pesisir pantai Malindi dalam tragedi yang dikenali sebagai “Pembunuhan Beramai-ramai Hutan Shakahola”.
Mackenzie, bekas pemandu teksi didakwa menghasut pengikut supaya berlapar sehingga mati bagi membolehkan mereka “bertemu Jesus”.
Bulan lalu, mahkamah mensabitkan Mackenzie bersama 28 tertuduh lain atas kesalahan membunuh 191 individu antara Januari 2021 hingga September 2023.
Pada Jumaat, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 100 tahun terhadap pertuduhan membunuh dan 100 tahun lagi bagi kesalahan menyebabkan kebuluran, manakala rakan subahatnya menerima pelbagai hukuman penjara yang panjang.
Dalam penghakimannya, hakim mendedahkan penderitaan ngeri yang dialami mangsa, termasuk kanak-kanak yang menyaksikan adik-beradik mereka meninggal dunia akibat kelaparan ketika ibu bapa mereka masih makan dan minum.
Menurut beliau, sebahagian mangsa juga meninggal dunia akibat dicekik dan dipukul teruk, manakala kanak-kanak lain terdedah kepada penderitaan melampau, keadaan hidup yang menakutkan serta trauma psikologi.
Mackenzie dilaporkan tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman dibacakan, sama seperti sepanjang perbicaraan berlangsung.
Pihak pendakwaan sebelum ini memohon hukuman mati dikenakan, namun hakim berpandangan ia tidak akan mencapai kesan pencegahan kerana pesalah menganggap kematian sebagai jalan menuju syurga dan penyatuan dengan Jesus serta anak-anak mereka yang telah meninggal dunia.
Walaupun Kenya masih mengekalkan hukuman mati, tiada pelaksanaan hukuman tersebut dilakukan sejak 1987.
Seorang guru berusia 62 tahun, Francis Wanje yang kehilangan dua cucu berkata, beliau berharap Mackenzie dijatuhi hukuman mati bagi mengelakkan tragedi serupa berulang.
Seorang lagi cucunya yang kini berusia 11 tahun berjaya diselamatkan pada Mac 2023 selepas tidak makan selama lapan hari.
Kanak-kanak itu memberi keterangan bahawa dua adiknya yang masing-masing berusia dua dan lima tahun meninggal dunia selepas ibu bapa mereka, yang akur kepada arahan Mackenzie, melarang mereka makan dan minum.
“Tiada apa yang dapat menghilangkan kesakitan ini,” kata Wanje yang turut menyalahkan pihak berkuasa kerana gagal bertindak segera.
“Saya benar-benar marah dengan pihak berkuasa. Jika tindakan diambil lebih awal, kami tidak akan berada dalam keadaan ini hari ini,” katanya.
Berdepan pertuduhan lain
Peguam Mackenzie memaklumkan, anak guamnya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah.
Selain kes berkenaan, Mackenzie turut berdepan pertuduhan lain termasuk menyebabkan kematian secara cuai dan keganasan, yang kesemuanya dinafikannya.
Sepanjang perbicaraan, kira-kira 120 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Menurut saksi, kumpulan itu menolak pendidikan formal yang disifatkan sebagai “satanik”, selain menganggap perubatan moden dan hospital sebagai alat syaitan.
Pengikut juga diwajibkan memutuskan hubungan dengan dunia luar.
Mackenzie ditahan pada April 2023 selepas sebuah kumpulan hak asasi manusia memaklumkan pihak berkuasa mengenai kegiatan tersebut.
Ketika itu, beberapa pengikut berjaya diselamatkan dari ladang seluas 325 hektar di Hutan Shakahola di pesisir Kenya.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Kenya melaporkan, jumlah kematian akibat tragedi itu meningkat kepada 429 orang pada 2024, dengan sebahagian mangsa masih belum dikenal pasti.
Kes itu turut mencetuskan gesaan supaya kawal selia terhadap pertubuhan keagamaan diperketatkan selepas didapati Mackenzie pernah ditahan dua kali sebelum ini namun dibebaskan.
Beliau menubuhkan Good News International Church pada 2003 dan membuka beberapa cawangan di Nairobi serta kawasan pesisir Kenya yang menarik ribuan pengikut, walaupun mendakwa gereja itu ditutup pada 2019.
Mackenzie pernah ditahan pada 2017 atas tuduhan melakukan “radikalisasi”, namun dibebaskan selepas mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.
Pada 2019, beliau sekali lagi ditahan susulan kematian dua kanak-kanak di Shakahola tetapi dibebaskan dengan ikat jamin. - Agensi