KUALA LUMPUR: Pakar politik meramalkan lebih banyak drama bakal berlaku pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Sabtu ini.

Penyelidik dan penganalisis politik Asia Tenggara, Bridget Welsh berpendapat, tanpa kepastian yang jelas, terdapat kemungkinan terjadinya hung parliament atau Parlimen tergantung.

Parlimen tergantung ialah situasi di mana tiada parti politik atau pakatan parti politik tertentu yang mempunyai jumlah ahli atau kerusi Parlimen yang terbanyak dalam Parlimen.

"Kita sedang bergerak ke situasi di mana gabungan kadang-kadang perlu dibentuk selepas pilihan raya, kita telah ada dua Dewan Undangan Negeri (DUN) gantung, di Perak dan Kedah dan apa yang berlaku ialah parti-parti dapat bersatu, bekerja, menyelesaikan masalah pembentukan kerajaan.

"Saya fikir begitu itu juga apa yang akan berlaku, jika perkara keadaan berterusan seperti sekarang. Lazimnya presiden, raja atau sultan peringkat negeri, akan mengarahkan gabungan yang mempunyai kerusi terbanyak, memberi mereka pilihan untuk membentuk kerajaan.

"Persoalannya ialah bagaimana pengaturan gabungan itu dilakukan. Ia adalah satu proses yang sebenarnya... berdasarkan perbincangan. Saya fikir ia sofistikated, dan saya fikir akan ada usaha di Malaysia untuk membentuk kerajaan dengan cepat.

"Jika keadaannya begitu, terdapat perbezaan... saya fikir mereka adalah rakan kongsi yang berbeza yang pernah bekerja bersama sebelum ini... dan mereka mengenali antara satu sama lain, jadi saya tidak menjangkakan ia akan mewujudkan ketidakstabilan dari perspektif negara, kerana Parlimen gantung adalah perkara biasa.

"Ia menggambarkan bahawa rakyat mempunyai pilihan yang berbeza dan saya fikir kita akan melihat pemimpin Malaysia, cuba mencapai resolusi bagi membentuk kerajaan dengan cepat demi kepentingan negara dan rakyat," katanya ketika muncul dalam program Malaysia Memilih, pada Khamis.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15:Khairy mampu tawan Sungai Buloh - Penganalisis politik

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Tidak menafikan situasi itu boleh menyebabkan kekecewaan rakyat, Welsh yakin pemimpin politik di negara ini cukup matang dan mampu mencari jalan penyelesaian, sekali gus membentuk kerajaan secepat mungkin selepas PRU15.

"Jika ada masalah untuk membentuk (kerajaan), akan sentiasa ada kekecewaan, tetapi saya fikir, rakan kongsi di Sabah Sarawak akan menjadi sangat penting.

"Saya percaya bahawa sudah ada perbualan (perbincangan) dalam kalangan ahli politik yang berbeza. Dan, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, parti-parti ini mengenali satu sama lain.

"Pada ketika ini, dari perspektif pengundi, mereka perlu keluar dan mengundi siapa pilihan mereka, untuk memberikan gabungan pilihan mereka kuasa yang paling besar.

"Saya rasa kita akan melihat situasi di mana ia mungkin mengambil masa (untuk membentuk kerajaan), saya dapat rasa ini akan menjadi tekanan kerana Malaysia tidak pernah mengalami situasi ini sebelum ini.

"Bagaimanapun saya tetap yakin pemimpin Malaysia mampu menyelesaikan masalah, mencapai kompromi. Dan jika satu gabungan tidak dapat membentuk kerajaan, rakan kongsi lain akan membantu untuk membentuk kerajaan.

"Perkara ini berlaku di seluruh dunia dan ia tidak merugikan sesebuah negara. Malah ia menunjukkan kekuatan institusi dan pemimpin negara itu," jelasnya.