KUALA LUMPUR: Secara realistik, agak sukar untuk mencapai jumlah pengundi melebihi 80 peratus seperti yang berlaku pada 2018, namun parti politik masih mempunyai tempoh selama dua minggu menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) bagi menarik seramai mungkin rakyat untuk keluar mengundi pada 19 November nanti.

Penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, Dr G Manimaran berpendapat, pelbagai faktor antaranya musim tengkujuh dan gelombang baharu COVID-19, selain komponen empat juta pengundi pertama kali yang sebelum ini tidak pernah mengundi, yang menyukarkan usaha mendapatkan lebih 80 peratus pengundi.

"Saya fikir mungkin tidak capai 82 peratus macam PRU14 sebelum ini, walaupun saya berharap boleh capai 85 peratus. Tetapi secara realistik, kita boleh dapat antara 70 hingga 75 peratus.

"Walaupun ada pertambahan pengundi, daripada 14 juta pada 2018 kepada 21 juta tahun ini, tetapi ada satu komponen yang kita lupa iaitu empat juta yang tidak pernah mengundi sebelum ini, walaupun mereka sudah berusia 50an.

"Kalau kita lihat indikasi yang berlaku awal tahun ini dan hujung tahun lepas dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka, suasananya berbeza kerana ketika itu kita masih dalam pandemik, ada sekatan perjalanan dalam dan luar negara, ada kebimbangan tinggi sehingga yang dalam negara pun tak nak keluar mengundi.

"Tetapi sekarang situasi sudah berubah, ada liputan media yang memberi kesedaran. Selepas hari raya lalu, saya lihat ada kecenderungan untuk orang ramai mengambil bahagian dalam politik, ada pergerakan, parti politik adakan ceramah dan kempen," katanya ketika muncul sebaga tetamu program Malaysia Memilih, pada Sabtu.

Beliau juga melihat naratif politik ke arah masa depan Malaysia yang holistik akan menjadi tumpuan dan diberi keutamaan oleh pengundi.

"Naratif lama masih boleh guna tetapi dalam bentuk berbeza kerana kita telah dibadai pandemik dan berdepan cabaran berbeza.

"Parti politik kena bawa satu tawaran, apa yang boleh kita bagi pada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang, perjelaskan bagaimana boleh bawa Malaysia ke arah lebih baik, sebagai contoh pekerjaan dan kualiti hidup.

"Semua parti perlu beri jaminan, janji untuk beri kehidupan lebih berkualiti kepada rakyat, dan ini termasuklah bebas rasuah dan pentadbiran yang baik kerana rakyat akan fikir mereka akan ada kerja, ada pendapatan," ujarnya.