ALOR SETAR: Daripada keseluruhan 15 kerusi Parlimen di Kedah, Pas akan bertanding di lapan kerusi manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diberikan tujuh kerusi, Perikatan Nasional (PN) Kedah memutuskan malam tadi. 

Pengerusinya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, kesemua calon yang dipertaruhkan di Kedah akan menggunakan logo PN pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) akan datang ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah turut meletakkan sasaran untuk menang di kesemua 15 kerusi yang ditandingi PN.

Tambahnya, penghargaan juga perlu diberikan kepada kesemua pimpinan tertinggi dari parti-parti komponen PN terutama Pas dan Bersatu kerana berjaya menyelesaikan proses pembahagian kerusi hanya dengan tiga kali perbincangan.

"Lapan kerusi akan ditandingi wakil daripada Pas, tujuh kerusi akan ditandingi wakil daripada Bersatu, untuk 15 kerusi Parlimen. Logo yang kita pilih, adalah logo Perikatan Nasional.

"Jadi, kesemua 15 calon ini, tidak kira daripada Pas atau Bersatu, kita akan lawan gunakan logo Perikatan Nasional.

"Jangan ada sesiapa beri ruang untuk musuh pecah belahkan kita atas perbezaan logo tadi. Sekarang, di Kedah, logo kita sama, iaitu Perikatan Nasional," katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Jentera Perikatan Nasional Peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, gabungan PN akan menggunakan beberapa strategi dalam memenangi kerusi yang dilihat 'sukar menang' seperti di Langkawi dan Alor Setar.

Tambahnya, fokus juga akan diberikan kepada kerusi yang dimenangi calon lawan dengan majoriti tipis bawah 2,000 undi dalam pilihan raya lepas, seperti di Padang Terap dan Baling.

26 Okt lalu, Pakatan Harapan (PH) Kedah menyasarkan untuk menyapu bersih kesemua 15 kerusi Parlimen di negeri Kedah dalam PRU15 pada 19 Nov depan.

Keyakinan itu disuarakan Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar berdasarkan momentum sokongan rakyat ketika ini selain kemenangan dua pertiga gabungan berkenaan di negeri Jelapang Padi itu dalam pilihan raya lepas.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di Kedah untuk dimenangi pada PRU15 ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu diyakini mampu dicapai berdasarkan sokongan rakyat kepada BN ketika ini selain kedudukan Kedah sebagai 'swing-state' yang sentiasa mempunyai kerajaan dari gabungan parti yang berbeza.