KOTA BHARU: Pas tidak terkesan dengan penampilan anak bekas mursyidul amnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar Nik Abdul Aziz yang mengesahkan diri bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkannya sebagai 'jenaka politik' apabila beliau bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedangkan beliau merupakan ahli parti Amanah.

"Saya pun terkeliru dengan berita itu, saya tahu dia parti Amanah tapi diisytiharkan oleh Presiden PKR untuk bertanding di tempat-tempat tertentu luar Kelantan.

"Jadi ianya satu jenaka politik, orang parti lain, presiden parti lain isytihar, jadi satu 'joke', apa alasan itu bukan isu pada Pas sebab dia bukan ahli Pas. Kalau tergugat, takkan dia bertanding luar Kelantan," katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika diminta memberikan reaksi pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan penyertaan Nik Imar itu semalam.

Anwar menjelaskan, Nik Omar akan bertanding di salah satu kerusi Parlimen Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Nik Omar sebelum ini bertanding atas tiket Amanah pada PRU14 di DUN Chempaka menentang calon Pas, Ahmad Fathan Mahamad.

Beliau bagaimanapun tewas dalam persaingan tiga penjuru.




Sementara itu, Pas mengambil maklum dengan peningkatan pengundi muda di Kelantan.

Menyedari berlaku penolakkan anak muda terhadap Pas, namum peratusan besar anak muda masih kekal menyokong pas kerana dasar yang diperjuangkan serta fokus pembangunan kepada anak muda.