KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meminta pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) agar memberi peruntukan agihan kerusi yang adil untuk ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jelas Setiausaha Agung parti itu, Richard Kastum, hal ini kerana PBRS bukan lagi parti kecil yang pernah dianggap sebelum ini.

"Berbeza dengan tanggapan sesetengah pihak, PBRS kini telah berjaya menarik kemasukan ramai pemimpin kanan parti-parti lawan serta permohonan ribuan keahlian baharu untuk menyertai parti itu.

"Ini menjadikan keahlian PBRS berlipat kali ganda dan jumlah bahagian-bahagian PBRS juga terus bertambah, yang mana bahagian PBRS telah pun ditubuhkan hampir di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Permintaan itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PBRS yang diadakan hari ini.

Tambah Richard, mesyuarat itu juga memutuskan untuk menghantar rombongan PBRS bagi mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Rombongan itu juga akan menyampaikan suara pemimpin dan penyokong akar umbi parti kepada Zahid dalam tempoh terdekat ini.

"PBRS yang merupakan satu-satunya parti tempatan dalam komponen Barisan Nasional, wajar diberikan peluang dengam agihan kerusi yang lebih adil," tegasnya.