KIMANIS: Penyandang kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menganggap pertembungan dengan Ketua Parti Warisan (Warisan) Bahagian Kimanis, Daud Yusof pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai rematch (perlawanan ulangan).

Mohamad berkata, beliau tidak gentar berdepan dengan Daud walaupun pernah tewas ketika bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada PRU14.

Timbalan Menteri Pendidikan II itu yang dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis mewakili Barisan Nasional (BN) menambah, senario PRU14 juga jauh berbeza dengan pilihan raya kali ini.

"Saya tidak ada masalah dengan beliau (Daud), dan beliau adalah kawan baik saya. Kita sering berjumpa dan terserempak di majlis-majlis orang kahwin dan kadang-kadang kita bersembang sama di kedai kopi... saya boleh duduk bersama beliau, dan begitu juga beliau.

"Jadi ini ibarat perlawanan persahabatan tetapi rakyat bukan hanya menilai seorang personaliti sahaja atau personaliti mana-mana calon, tetapi paling penting ada trek rekod parti dan perkhidmatan yang telah kita (BN) bawakan kepada rakyat.

"Itu yang saya yakin akan jadi perhitungan dan pertimbangan pengundi-pengundi pada PRU kali ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini baru-baru ini.

Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan diumumkan secara rasmi sebagai calon Warisan pada PRU15 bagi kerusi Parlimen Kimanis.

Pada PRU14, Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis tewas di tangan Daud dengan majoriti 795 undi di DUN Bongawan, iaitu satu daripada dua kerusi DUN dalam Parlimen Kimanis.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 2020, menunjukkan pengundi telah memberi peluang semula kepada BN untuk meneruskan khidmat di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, PRU15 memberi lebih keyakinan buatnya berdasarkan trek rekod sepanjang lebih dua tahun berkhidmat sebagai ahli Parlimen, selain diberikan kepercayaan menganggotai barisan Kabinet.

"Alhamdulillah banyak projek pembangunan yang sempat saya bawakan dan berimpak antaranya projek naik taraf jalan Bukit Manggis-Kimanis-Papar dan ini satu 'game changer' bagi saya.

"Penantian rakyat sejak puluhan tahun bakal berakhir dan projek ini sudah dan sedang berjalan. Ada beberapa projek lain yang sempat saya bawakan dan saya yakin rakyat mampu menilai," tambah Mohamad, yang menjangkakan kerusi Parlimen Kimanis berdepan sekurang-kurangnya empat penjuru.

Mengenai pendirian bekas ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang tidak mahu bertanding di kerusi berkenaan, Mohamad berkata beliau menyambut baik keputusan tersebut.

Begitupun, Mohamad berkata selaras dengan amalan demokrasi, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai pilihanraya.

"Saya juga telah berhubung dengan beliau (Anifah) dan beliau menyatakan tentang sokongan terhadap saya untuk membantu pada PRU kali ini.

"Tetapi ini satu amalan demokrasi, sesiapa pun boleh menyertai mana-mana pilihanraya dan menjadi calon. Kita tungu 5 November nanti (hari penamaan). Kalau Datuk Seri Anifah tidak menyertai, saya amat berterima kasih kepada beliau dan sama-sama berjuang, tiada masalah. Selebihnya boleh tanya beliau sendiri..." kata Mohamad.


Mohamad menang PRK Kimanis pada Januari 2020 dengan majoriti lebih 2,000 undi menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang.


PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 2019 memutuskan kemenangan Anifah atas tiket BN pada PRU14, tidak sah dan terbatal.