GUA MUSANG: Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan adalah satu pilihan raya yang sukar.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, semua parti politik termasuklah Barisan Nasional (BN) akan berhadapan kesukaran disebabkan banyak faktor termasuklah ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.

"Saya rasa pilihan raya ini satu pilihan raya yang paling sukar. Dan saya tak fikir tak ada satu parti pun yang mendapat simple majority, tak boleh membentuk kerajaan.

"Saya rasa UMNO pun berada dalam keadaan begitu apatah lagi dengan berbagai-bagai skandal , berbagai-bagai masalah yang dihadapinya.

"Saya rasa kemungkinan pilihan raya ini bukan menyelesaikan masalah tetapi akan menimbulkan banyak lagi masalah.

"Kita hadapi masalah bukan sahaja pandemik belum selesai, pandemik COVID-19, tetapi juga masalah kos hidup rakyat kerana inflasi yang menekan kita. Dan produktiviti kita sudah jatuh, nilai ringgit kita seolah-olah mengalami free fall. Jatuh dengan tidak ada halangan apa-apa," katanya.

Bagaimanapun Tengku Razaleigh berkata, pilihan raya perlu diadakan kerana mengikut perlembagaan ia sudah genap lima tahun.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Aring di Felda Aring 1, Gua Musang, Kelantan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pertimbangan yang wajar perlu diambil dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pertimbangan itu termasuk soal kestabilan dan usaha pemulihan ekonomi negara serta membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos sara hidup.